Pegawai Kanan Polis Di Kelantan Buat Laporan Mengenai Anaknya

16/04/2025 07:19 PM

KOTA BHARU, 16 April (Bernama) -- Pendedahan terbuka mengenai peningkatan kes jenayah seksual di Kelantan baru-baru ini telah membuka mata banyak pihak, termasuk seorang pegawai kanan polis di negeri itu yang akhirnya tampil membuat laporan polis sendiri selepas menyedari anak perempuannya terlibat dalam perlakuan tidak bermoral.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat yang mendedahkan perkara itu berkata pegawai berkenaan terdetik memeriksa telefon bimbit milik anaknya yang berusia 14 tahun selepas mengikuti pendedahan berkenaan peningkatan kes rogol di negeri itu minggu lepas.

“Hasil pemeriksaan menemukan bahan lucah membabitkan anak perempuannya bersama seorang remaja lelaki, dan pegawai terbabit kemudiannya tampil membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Aidilfitri anjuran Konsortium E-Mutiara Berhad, di sini, hari ini.

Beliau menyifatkan langkah berani pegawai itu sebagai satu bentuk kesedaran yang seharusnya dicontohi oleh masyarakat, khususnya ibu bapa.

Mohd Yusoff berkata sejak pendedahan dibuat pihak polis minggu lepas, lebih ramai mangsa dan individu tampil memberikan kerjasama dengan membuat laporan berhubung kejadian jenayah seksual yang berlaku dalam komuniti masing-masing.

“Ia menunjukkan kesedaran masyarakat mula meningkat dan ini amat penting dalam usaha membanteras jenayah seksual yang semakin membimbangkan,” katanya.

Pada 9 April lepas Mohd Yusoff mendedahkan jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan