KPDN Perak Rampas 219 Tong LPG Termasuk Dari Ladang Ayam

08/05/2025 03:14 PM

IPOH, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 219 tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa permit di tiga lokasi berasingan pada 6 Mei, termasuk dari sebuah ladang ternakan yang menggunakan gas itu untuk memanaskan anak ayam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata rampasan dilakukan menerusi Op Gasak 2025 di Teluk Intan, Taiping dan Ipoh itu, melibatkan rampasan tong LPG dan dua lori dengan jumlah keseluruhan RM46,995.30.

“Serbuan pertama di ladang ayam di Teluk Intan mendapati, premis itu menyimpan tong LPG tanpa permit dengan pengurus ladang, lelaki tempatan berusia 66 tahun gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata dalam dua lagi serbuan, pegawai penguat kuasa KPDN Perak menemukan dua lori dengan muatan LPG di hadapan sebuah premis perniagaan dan kediaman.

“Dalam serbuan di Ipoh, pasukan penguat kuasa menahan pemilik lori, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun, manakala lelaki tempatan berusia 62 tahun di tahan di Taiping, iaitu pemilik kediaman terlibat, selepas gagal mengemukakan surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan