CHUKAI, 5 Mei (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki dalam Op Samseng Jalanan yang disyaki terlibat dengan kegiatan lumba haram di Jalan Telaga Simpul, di sini Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata operasi itu dijalankan susulan satu video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal sedang berlumba dan memandu dengan melulu serta berbahaya di lokasi berkenaan.
Beliau berkata dua suspek berumur 18 dan 20 tahun yang ditahan itu dipercayai menjalankan kegiatan lumba haram di sekitar kawasan berkenaan sejak tiga minggu lepas, dan kedua-dua mereka telah direman tiga hari bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis ingin menasihatkan ibu bapa agar lebih peka dan prihatin terhadap pergerakan serta aktiviti anak-anak yang melibatkan motosikal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razi berkata pihaknya turut menyita lima motosikal dan mengeluarkan 61 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial