KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Pemandu pacuan empat roda yang melanggar pasangan suami isteri menaiki motosikal berkuasa tinggi berdekatan Plaza Tol Duta, Sabtu lepas dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana memandu kenderaan secara melulu.
Majistret Khairunnisak Hassni turut memerintahkan jurujual aksesori kereta K. Darmaraju, 32, menjalani hukuman penjara bermula 11 Mei, selepas dia mengaku bersalah memandu kenderaan jenis Nissan Navara dengan melulu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke pusat bandar sebelum Plaza Tol Duta pada 2.30 petang, 10 Mei lepas.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda selain kesalahan yang dilakukan diendors dalam lesen memandunya dan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun bermula hari ini.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan diendors pada lesen memandu.
Pegawai Pendakwa Inspektor Syazwan Hasifi memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh, namun peguam S. Vinesh yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara dan denda ringan atas alasan anak guamnya baru berkahwin dan menanggung kedua ibu bapanya.
"Anak guam saya memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang," kata peguam itu.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian kedua-dua mangsa sedang menunggang motosikal secara lurus di lorong paling kiri jalan sebelum didatangi kenderaan pacuan empat roda yang secara tiba-tiba memotong motosikalnya dengan cara tidak selamat.
Tertuduh kemudian melanggar motosikal mangsa dan terus meninggalkan lokasi kejadian selain tidak memberhentikan kenderaannya selepas kemalangan tersebut.
Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial