Edar Dadah: Penghantar Barang Terlepas Hukuman Gantung

22/04/2025 01:20 PM

MELAKA, 22 April (Bernama) -- Seorang bekas penghantar barang yang berdepan pertuduhan mengedar dadah 10.8 kilogram empat tahun lepas, terlepas hukuman mati apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Melaka di sini hari ini.

Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Yee Kok Chong, 44, pada akhir kes pembelaan.

Mohd Radzi dalam penghakimannya berkata kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan saksi penting termasuk gagal mengemukakan rakaman percakapan saksi yang diminta pihak pembelaan, telah menyebabkan prejudis terhadap tertuduh.

“Dengan itu mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan satu keraguan munasabah terhadap tertuduh dan oleh itu mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh,” katanya.

Yee dituduh mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 10,898 gram di sebuah bangku kayu di Persimpangan Lereh 3, bersebelahan sebuah sekolah di dalam daerah Melaka Tengah sekitar 7.05 malam pada 14 Jan 2021.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) Akta yang sama, yang memperuntukan hukuman mati atau dengan pemenjaraan seumur hidup.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Saleh, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Perbicaraan menyaksikan seramai lapan orang saksi pendakwaan dikemukakan, manakala pihak pembelaan telah memanggil seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan