Mahkamah Kekalkan Hukuman Penjara 30 Tahun, 12 Sebatan Bunuh Rakan, Tidur Dengan Mayat

30/04/2025 04:45 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan, hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang pekerja sambilan yang membunuh rakannya sebelum  tidur bersama mayat mangsa selama empat hari.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak rayuan Mohd Azhud Ibrahim terhadap sabitan dan hukumannya.

Menyampaikan keputusan, Hakim Nallini berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mohd Azhud, 33, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas, yang mengekalkan sabitan atas kesalahan membunuh namun menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Mengikut fakta kes, seorang rakan yang melawat rumah Mohd Azhud telah terhidu bau busuk dan menyoalnya membuatkan Mohd Azhud mengakui terdapat mayat di dalam rumah.

Rakannya telah memberi keterangan di mahkamah bahawa Mohd Azhud memberitahunya, “Saya sudah lama marah padanya. Saya kecewa.” 

Dalam keterangan dari kandang tertuduh, Mohd Azhud mendakwa dia bertindak demikian untuk mempertahankan diri semasa bergaduh dengan Ahmad Azam Ahmad, 43, dengan menggambarkan rakannya itu seorang yang agresif.

Selepas kejadian, Mohd Azhud berkata dia telah mengambil ganja dan tidur selama dua hari sebelum terjaga dan mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi, dan oleh kerana tidak mampu menguruskan mayat, dia akhirnya mengakui telah tinggal bersama mayat itu.

Laporan bedah siasat mendapati 23 kecederaan luaran dan trauma teruk pada kepala serta dada mangsa.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Mohd Azhud berkata anak guamnya sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan membunuh kerana tiada bukti keadaan menunjukkan secara jelas kesalahan anak guamnya.

Beliau juga menyebut tentang ketiadaan saksi mata kepada kejadian tersebut.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya Mohd Fairuz Johari mengakui tiada saksi mata  hadir namun berkata bukti keadaan yang ada, amat kukuh.

Beliau berkata tertuduh adalah satu-satunya individu dilihat berada di dalam rumah bersama mayat mangsa dan polis telah menemukan beberapa barang yang mempunyai kesan darah, termasuk senjata, berdasarkan maklumat diberikan tertuduh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan