KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk menggunakan wang milik syarikat berjumlah lebih RM5 juta, antara Mac 2022 hingga Disember 2023.
Irfan Hadi Jazman Shahar, 28, yang merupakan pengarah tiga syarikat iaitu Kenaf Trading Global Sdn Bhd, Kenaf Venture Global Sdn Bhd dan Ar Rizq Capital Berhad, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Irfan Hadi didakwa menggunakan kedudukan sebagai pengarah Kenaf Trading Global Sdn Bhd untuk meluluskan pembayaran RM5 juta kepada Ar Rizq Capital Berhad bagi manfaat sendiri dan RM150,000 kepada sebuah firma guaman bagi pembelian hartanah di Rimba Valley, Kota Damansara atas nama ibunya Mariam Zakaria tanpa persetujuan mesyuarat agung syarikat.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa menggunakan kedudukan sebagai pengarah syarikat Kenaf Venture Global Sdn Bhd bagi meluluskan bayaran RM10,400 kepada sebuah lagi firma guaman bagi kes saman sivil ibunya, juga tanpa persetujuan mesyuarat agung syarikat.
Irfan Hadi turut berdepan enam lagi pertuduhan serupa membabitkan Kenaf Venture Global Sdn Bhd melibatkan pembayaran bagi pembelian tiket penerbangan untuk ibunya berjumlah RM83,718.
Bagi kesemua pertuduhan itu, pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 218 (1) (c) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi empat pertuduhan terakhir, Irfan Hadi sebagai pengarah Ar Rizq Capital Berhad didakwa gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan meluluskan bayaran berjumlah RM195,000 bagi pembelian hartanah dan sewaan kediaman untuk kegunaan keluarga yang merupakan pelanggaran di bawah Akta Syarikat 2016.
Bagi empat pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 213 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Plaza Sentral, Kuala Lumpur Sentral di sini antara 8 Mac 2022 dan 26 Dis 2023.
Mahkamah membenarkan jaminan RM35,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 29 Mei ini sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia Zulkhairi Kamaruzaman dan Nurul’ Ain Shafie manakala Irfan Hadi diwakili peguam Nurul Aeir S Muhammad Harvian Kamar.
Irfan Hadi sebelum ini telah didakwa bersama bapanya Jazman Shahar Abdollah atas pertuduhan mengeluarkan iklan skim pelaburan kenaf tidak berdaftar, selain turut berdepan 12 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram lebih RM150 juta bersama ibu dan bapanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial