Kes 1MDB: Kementerian Dalam Negeri Akan Mohon Sepina Najib Terhadap KPN Diketepi

16/04/2025 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri akan memohon untuk mengetepikan sepina yang diperoleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memanggil Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain sebagai saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu yang sedang berlangsung.

Penasihat Undang-Undang Hal Ehwal Dalam Negeri Muhammad Ilmami Ahmad memaklumkan Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bahawa peguam Najib telah menyerahkan sepina kepada Razarudin pada 14 April lepas.

"Bagaimanapun, kami tidak dimaklumkan mengapa KPN dipanggil sebagai saksi pembelaan. Oleh itu, kami memohon masa untuk memfailkan permohonan terhadap sepina tersebut," katanya.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, yang mewakili Najib, pula berkata mereka ingin memanggil Razarudin sebagai saksi untuk memperjelas isu mengenai bekas pegawai bank Goldman Sachs iaitu Roger Ng Chong Hwa dan mendapatkan maklumat terkini berhubung tiga waran tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan.

Beliau berkata pihak pembelaan sedang giat mengesan Ng, yang telah dibawa pulang ke Malaysia seleps disabitkan di Amerika Syarikat bagi kesalahan berkaitan 1MDB kerana sebelum ini KPN menyatakan bahawa Ng berada dalam tahanan polis.

"Adalah lebih adil jika kenyataan umum KPN mengenai siasatan berkaitan Loo serta Ng diperhalusi secara terbuka di mahkamah kerana ia melibatkan kepentingan awam dan kami mahu beliau menjelaskan di mahkamah mengenai status ketiga-tiga waran tangkap yang dikeluarkan sebelum ini terhadap Loo," katanya.

Semasa perbicaraan kes itu, mahkamah dimaklumkan bahawa Ng dan Loo telah memainkan peranan dalam membantu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk mengalihkan wang berbilion ringgit daripada dana 1MDB.

Pada Oktober 2023, Razarudin mengumumkan bahawa Ng telah dibawa pulang ke Malaysia bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB. Ng dan Loo telah melarikan diri ke luar negara selepas kerajaan pimpinan Barisan Nasional tumbang dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Sementara itu, Sequerah mengingatkan semua pihak agar tidak menangguhkan lagi perbicaraan kes itu kerana ia telah memasuki tahun ketujuh.

"Saya dimaklumkan bahawa perbicaraan kes ini boleh diselesaikan menjelang Julai depan. 

"Ini adalah penggunaan masa badan kehakiman yang tidak efisien, anda tidak boleh menangguhkan prosiding sehingga ketiga-tiga individu dikesan dan bersetuju untuk datang ke mahkamah. Kesemua pihak perlu membantu saya untuk menyelesaikan perbicaraan kes ini," katanya.

Wan Azwan Aiman kemudian memaklumkan bahawa pihaknya sedang mencuba sedaya upaya dan pembelaan telah berulang kali berdepan halangan dalam isu membabitkan akses kepada saksi yang berpotensi kerana sebahagian daripada mereka kini berada di luar negara selain menunggu maklum balas daripada agensi kerajaan.

Pada 30 Okt 2024, Sequerah telah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan bahawa pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan