ANAK MB PERLIS, EMPAT YANG LAIN DILEPAS DENGAN JAMINAN SPRM

26/04/2024 07:01 PM

KANGAR, 26 (Bernama) -- Anak lelaki Menteri Besar Perlis yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Rabu, dilepaskan dengan jaminan SPRM, hari ini.

Turut dilepaskan hari ini ialah empat individu lain, yang turut ditahan bagi membantu siasatan dalam kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Menurut sumber kesemua suspek dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Selasa lalu, SPRM menahan enam individu dipercayai terlibat dengan kes tersebut, ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Perlis, di sini.

Susulan itu, kesemua suspek telah direman dua hari bermula Rabu dengan seorang daripada mereka dilepaskan semalam.

Kesemua suspek ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi, mengesahkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili kesemua suspek Mohd Fadhly Yaacob ketika ditemui di sini berkata pihak SPRM, bebas untuk memanggil semula anak guamnya untuk melengkapkan siasatan sekiranya ada keperluan.

“Semua yang ditahan telah dilepaskan, semalam seorang dan hari ini lima orang...jadi semua selesai untuk apa-apa sepanjang tiga hari ini, selesai hari ini...dilepaskan dengan jaminan SPRM. Sekiranya ada keperluan untuk hadir ke pejabat SPRM bagi keterangan, mereka akan hadirlah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan