PENOLONG PEGAWAI PENGUAT KUASA KPDN DIDAKWA TIPU KURANGKAN KADAR KOMPAUN

24/04/2024 12:31 PM

BUTTERWORTH, 24 April (Bernama) -- Seorang penolong pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki untuk membantu mengurangkan kadar kompaun, hampir dua tahun lepas.

Bagaimanapun Mohd Zaimi Sham Mahmood, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Tertuduh didakwa sebagai penolong pegawai penguat kuasa KPDN (sebelum ini dikenali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - KPDNHEP) menipu K. Sivapragasam, 45, untuk mempercayai Jawatankuasa Rayuan Kompaun di Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya menolak rayuan kompaun.

Dia didakwa boleh membantu mengurangkan kadar kompaun bagi kesalahan berhubung Akta Kawalan Bekalan 1961 sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM3,000.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Bayan Indah, Daerah Barat Daya dekat sini antara 5.35 petang hingga 5.50 petang pada 13 Mei 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport sehingga kes selesai serta melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh diwakili peguam V. Parthipan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan