SUKAN > BERITA

KDNFC KECAM TINDAKAN INDIVIDU, KUMPULAN SERANG PEMAIN BOLA SEPAK

05/05/2024 11:13 PM

KOTA BHARU, 5 Mei (Bernama) -- Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu atau pihak tidak bertanggungjawab melakukan kekerasan menyerang dan mencederakan atlet sukan di Malaysia.

KDNFC dalam kenyataan malam ini memaklumkan insiden yang berlaku terhadap dua pemain bola sepak negara merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan perlu dibendung dengan kadar segera.

"Para pemain bola sepak serta atlet mana-mana sukan sekalipun adalah aset negara yang perlu dijaga, mereka ini adalah individu yang akan mengharumkan nama Malaysia pada setiap kejohanan atau acara sukan disertai oleh negara kita.

"Justeru KDNFC berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak bertanggungjawab agar kejadian sama tidak berlaku kepada pemain bola sepak atau atlet sukan lain di masa akan datang," menurut kenyataan itu.

KDNFC mendoakan agar dua pemain yang cedera itu cepat sembuh serta dapat berbakti kepada pasukan masing-masing dalam memeriahkan semula Liga Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.

Khamis lepas pemain bola sepak Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun, dan hari ini pula negara dikejutkan dengan kejadian pemain sayap Selangor FC Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan