JENAYAH & MAHKAMAH

AHMAD IZUDDIN KELUAR RUMAH TERGESA-GESA SEBELUM KEMALANGAN - BAPA

16/04/2024 07:21 PM

KOTA BHARU, 16 April (Bernama) -- Ahmad Izuddin Ahmad Jhosman, seorang daripada tiga penunggang motosikal yang maut dalam nahas di KM 9.9 Lebuhraya Ketereh-Kota Bharu di sini tengah malam semalam, dilihat tergesa-gesa keluar dari rumah untuk makan di sebuah kedai nasi berlauk bersama rakan-rakannya sebelum kejadian berlaku.

Bapanya,  Ahmad Jhosman Ab Rahman, 46, berkata anak lelaki sulung daripada tiga beradik itu keluar dari rumah mereka di Kampung Teluk Kandis, Salor pada 8.30 malam untuk ke kedai berkenaan di Ketereh.

“Ibunya ada mempelawa arwah makan malam di rumah tetapi dia (Ahmad Izuddin) menolak permintaan itu dengan memberikan alasan sudah berjanji untuk makan bersama rakan-rakan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Rumah Mayat Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) hari ini.

Menurutnya, Ahmad Izuddin amat meminati bidang permotoran dan memiliki sijil kemahiran automatif serta sedang menyambung pengajian diploma dalam kemahiran itu di GiatMara Rantau Panjang.

Sementara itu, adik Allahyarham, Siti Maisarah, 18, berkata kali terakhir dia bertemu abangnya ialah pada Syawal kedua baru-baru ini dan mereka sempat bermaaf-maafan.

“Dia seorang abang yang pendiam dan bertanggungjawab menjaga adik-adik,” katanya menambah jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Kandis, Salor, hari ini.

Selain Ahmad Izudin, kemalangan pada 12.50 tengah malam itu turut mengorbankan dua rakannya Azman Uji, 21, dan Muhammad Faiz Mohd Nasarudin, 19, manakala tiga lagi penunggang motosikal cedera parah dirawat di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini. 

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud hari ini dilaporkan berkata kesemua mereka berlanggar sesama sendiri dalam kemalangan membabitkan enam motosikal dan sebuah kereta di lokasi terbabit.

Beliau berkata kesemua penunggang motosikal berkenaan berusia 19 hingga 21 tahun yang menunggang secara berkumpulan dari arah Ketereh menghala Kota Bharu dan kes sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan