| BERITA TERGEMPAR | Peningkatan luar biasa TVET di Malaysia didorong dasar kerajaan dan komitmen TPM Ahmad Zahid - PM Anwar | |
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Persediaan rapi dari segi fizikal, mental dan kelengkapan peralatan sesuai, merupakan aspek paling penting bagi memastikan aktiviti pendakian dapat dilakukan dengan selamat.
Jurulatih aktiviti luar Mohd Hafiz Nordin berkata bakal pendaki, perlu menilai kemampuan diri terlebih dahulu sebelum memilih sama ada untuk mendaki bukit atau gunung, kerana kedua-duanya menuntut tahap kecergasan, kelengkapan dan persediaan yang berbeza.
Beliau berkata antara panduan asas yang perlu diberi perhatian ialah mengamalkan prinsip Leave No Trace, yang merupakan sebahagian daripada tujuh prinsip utama aktiviti di dalam hutan yang diguna pakai pada peringkat antarabangsa.
“Perkara pertama ialah perancangan dan persediaan. Pendaki perlu menyemak keadaan cuaca, menetapkan masa memulakan pendakian, sasaran tiba di puncak serta waktu turun.
“Selain itu, kesihatan, kekuatan mental dan peralatan perlu diberi perhatian, kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan sepanjang pendakian,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Darah Muda terbitan Bernama TV, malam tadi.
Mohd Hafiz yang juga Pengasas D’republic Global berkata antara peralatan asas yang wajib dibawa ialah kit pertolongan cemas, wisel, selimut kecemasan, alat menyalakan api serta pisau atau parang yang boleh digunakan ketika kecemasan dan situasi ikhtiar hidup.
Beliau berkata penggunaan teknologi seperti sistem penentu kedudukan global (GPS) dan jam pintar boleh membantu pendaki, namun mereka tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada peranti berkenaan.
Sebaliknya, Mohd Hafiz berkata pendaki perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai navigasi dan kemahiran ikhtiar hidup, sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku masalah seperti kehabisan bateri atau kerosakan peralatan elektronik.
Beliau turut mencadangkan pendaki, khususnya yang ingin melakukan pendakian pada tahap lebih mencabar, mengikuti kursus berkaitan navigasi dan ikhtiar hidup yang kini ditawarkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penggiat aktiviti luar.
“Pendaki yang sering melakukan pendakian di kawasan melebihi 2,000 meter, sepatutnya mempunyai sekurang-kurangnya pengetahuan asas mengenai navigasi dan ikhtiar hidup, kerana ia boleh membantu ketika berdepan situasi tidak dijangka,” katanya.
Mengulas mengenai amalan sistem rakan pendakian atau buddy system, Mohd Hafiz berkata pendekatan itu penting, bagi memastikan setiap peserta sentiasa dipantau dan tidak bergerak bersendirian, terutama di kawasan hutan yang luas.
Beliau berkata peserta perlu mematuhi arahan ketua kumpulan dan petugas sweeper, selain mengelakkan sikap terlalu yakin atau mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan keselamatan ahli kumpulan lain.
“Sikap ramah dan saling berkomunikasi dalam kumpulan juga membantu mewujudkan buddy system secara semula jadi, kerana pendaki akan lebih peka terhadap keadaan rakan-rakan mereka,” katanya.
Mohd Hafiz berkata pendaki yang berasa terlalu letih atau tidak mampu meneruskan perjalanan tidak seharusnya memaksa diri, sebaliknya perlu berehat dan mendapatkan bantuan daripada rakan atau sweeper yang ditugaskan.
Beliau menegaskan bahawa peralatan yang lengkap, ilmu yang mencukupi serta persediaan yang teliti merupakan faktor utama bagi memastikan pengalaman mendaki bukan sahaja menyeronokkan malah selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial