BELANJAWAN 2025 > BERITA

Putin Zahir Penghargaan Atas Lawatan Sultan Ibrahim Sempena Hari Kemenangan Di Moscow - Duta

04/06/2026 12:41 AM

KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Presiden Rusia Vladimir Putin menzahirkan penghargaan yang tulus kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas lawatan khas Seri Paduka Baginda ke Moscow bagi menyerikan sambutan Hari Kemenangan negara itu, bulan lepas, kataDuta Rusia ke Malaysia Naiyl Latypov .

Latypov berkata peningkatan dialog peringkat tertinggi antara Rusia dan Malaysia itu jelas mencerminkan trajektori positif dalam hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

“Kerjasama kita merangkumi pelbagai bidang - daripada perdagangan, pelaburan dan tenaga sehinggalah kepada pelancongan, pertukaran budaya serta kemanusiaan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Rusia di sini, pada Rabu.

Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama yang dijemput sebagai Tetamu Kehormat bagi menghadiri sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan ke-81 di Moscow pada Mei.

Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Seri Paduka Baginda, semasa pertemuan empat mata di Kremlin pada 9 Mei, Sultan Ibrahim telah mengundang Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada 2027 sempena sambutan Jubli Intan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Latypov berkata Rusia amat menghargai tahap kerjasama dicapai dengan Malaysia - yang bakal menandakan enam dekad hubungan rasmi tahun depan - dan berharap agar perkongsian ini terus berkembang demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Dalam ucapannya, beliau turut memetik peribahasa Melayu: “Ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni”, bagi menggambarkan semangat solidariti dan perpaduan dalam konteks hubungan Rusia-Malaysia untuk mengharungi cabaran bersama-sama.

Latypov menegaskan bahawa Malaysia merupakan rakan kongsi Rusia yang lama, boleh dipercayai dan amat dihargai, sama ada di Asia Tenggara mahupun di peringkat global.

“Negara kita sentiasa berusaha untuk mengambil kira kepentingan satu sama lain, bekerja sebagai rakan kongsi, dan membina kerjasama berteraskan prinsip saling menghormati serta mendapat manfaat bersama,” katanya.

Beliau berkata pendirian Rusia dan Malaysia dalam isu serantau serta antarabangsa adalah selari, dengan kedua-dua negara teguh mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang antarabangsa, kedaulatan negara, dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman.

Kedua-dua negara juga menyelaras usaha untuk memelihara asas-asas ini di platform pelbagai hala utama termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta perkongsian dialog Rusia-ASEAN dan BRICS.

Duta itu turut menarik perhatian bahawa penyertaan peringkat tinggi Malaysia dalam aktiviti Kumpulan Visi Strategik “Rusia-Dunia Islam” terbukti menjadi instrumen berkesan bagi persefahaman dan kerjasama antara Rusia dan negara-negara Islam.

Beliau berkata Rusia juga amat menantikan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak Rusia-ASEAN  di Kazan dari 17 hingga 18 Jun ini.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang mewakili Kerajaan Malaysia pada majlis resepsi berkenaan, memberitahu Bernama bahawa kementeriannya akan mengetuai mesyuarat dua hala Malaysia-Rusia yang dijadualkan berlangsung di Langkawi pada Ogos nanti.

Antara bidang yang akan diberikan tumpuan termasuklah kerjasama pendidikan, khususnya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat tinggi, katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan