SHAH ALAM, 27 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan Insentif Khas Aidilfitri sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 bagi penjawat awam negeri berkenaan.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata insentif bagi menghargai pencapaian cemerlang penjawat awam Negeri Selangor itu akan mula dimasukkan pada 19 Mac nanti.
“Gaji akan dimasukkan antara 13 hingga 16 Mac, jadi tak perlu takut untuk berbelanja dahulu, nanti 19 Mac akan masuk bayaran insentif,” katanya ketika berucap pada Majlis Akrab Mahabbah Insani Ramadan bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata bagi pemimpin masyarakat seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Pegawai Perhubungan Kampung Baru/Bagan, Ketua Komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya dan Penggerak Belia Selangor pula akan menerima sebanyak satu bulan elaun minimum RM500.
Turut diumum insentif sebanyak RM500 kepada petugas masjid dan Guru Rakyat.
Amirudin berkata kerajaan negeri juga bersetuju meluaskan insentif itu kepada 50,000 penjawat awam Persekutuan termasuk polis, tentera, bomba, guru, dan jururawat bergaji RM3,000 ke bawah, lantikan tetap dan berkhidmat di Selangor sebanyak RM300.
Beliau juga mengumumkan insentif khas kewangan sebanyak RM1,000 bagi pengamal media yang berdaftar di bawah Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor setakat hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial