BELANJAWAN 2025 > BERITA

CIMB Niaga Catat Untung Sebelum Cukai IDR8.8 Trilion Bagi Tahun Kewangan 2025

26/02/2026 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- PT Bank CIMB Niaga Tbk mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak IDR8.8 trilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025, dengan pendapatan sesaham berjumlah IDR273.53, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan berterusan bank itu. (1 juta rupiah = RM231.2)

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Niaga Lani Darmawan berkata bank itu berjaya memperkukuh kedudukan mudah tunai dan modal pada 2025, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan serta memantapkan penciptaan nilai jangka panjang.

Beliau berkata rangka kerja pengurusan risiko yang ketat turut tercermin menerusi kualiti aset, khususnya nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kasar sebanyak 1.81 peratus serta kos kredit (CoC) yang lebih rendah pada 0.74 peratus.

“Pencapaian pulangan atas ekuiti (ROE) sebanyak 13 peratus membuktikan bank mampu menjana keuntungan secara konsisten, tanpa mengambil risiko berlebihan, sambil mengekalkan kedudukan kewangan yang stabil dan berdisiplin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, CIMB Niaga mengekalkan kedudukan modal yang kukuh dengan nisbah kecukupan modal (CAR) sebanyak 24.8 peratus dan nisbah pinjaman kepada deposit pada 86.8 peratus, manakala jumlah aset disatukan mencecah IDR372.7 trilion setakat 31 Dis 2025.

Jumlah deposit meningkat kepada IDR270.5 trilion, naik 3.8 peratus tahun ke tahun, dipacu pertumbuhan kukuh akaun semasa dan simpanan (CASA) sebanyak 10.1 peratus kepada IDR189.5 trilion, menjadikan nisbah CASA pada 70.0 peratus.

Sementara itu, jumlah pinjaman/pembiayaan berkembang 4.5 peratus tahun ke tahun kepada IDR238.3 trilion, dengan pertumbuhan tertinggi dicatatkan segmen perbankan korporat sebanyak 6.7 peratus, diikuti perbankan pengguna (3.4 peratus) dan perusahaan kecil dan sederhana (2.0 peratus).

Peningkatan pinjaman runcit sebahagian besarnya disumbangkan oleh pinjaman kenderaan yang berkembang 10.1 peratus tahun ke tahun.

Bagi perbankan syariah, Unit Syariah CIMB Niaga mengekalkan kedudukannya sebagai Unit Usaha Syariah terbesar di Indonesia, dengan jumlah pembiayaan sebanyak IDR55.7 trilion dan deposit berjumlah IDR50.3 trilion setakat 31 Dis, 2025.

Pada 2026, Lani berkata bank itu akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan pinjaman secara berhemat, mengekalkan kualiti aset, memperkukuh asas CASA serta mengamalkan pengurusan kos yang berdisiplin.

“Dengan strategi ‘Forward30’ sebagai panduan, kami yakin dapat mengekalkan prestasi berdaya tahan dan terus menjana nilai mampan kepada pihak berkepentingan, termasuk pelanggan dan masyarakat secara keseluruhan.

“Komitmen ini mencerminkan tujuan kami untuk ‘Memajukan Pelanggan dan Masyarakat’, selaras dengan usaha memperkasa mereka merealisasikan impian dan aspirasi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan