JOHOR BAHRU, 4 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor terus memperkasakan bakat masa depan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) strategik antara Johor Talent Development Council (JTDC) dan rakan antarabangsa bagi melaksanakan Program Pembangunan Bakat Reka Bentuk AI.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata MoU dimeterai JTDC itu melibatkan Iskandar Investment Bhd (IIB) dengan Singapore Economy and Management Institute serta Duiyo Pro, iaitu anak syarikat Alibaba yang memfokuskan kepada bidang reka bentuk AI.
“Kerjasama ini membuktikan keyakinan pelabur dan pemain industri global terhadap potensi bakat serta hala tuju pembangunan teknologi AI di Johor,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Aznan berkata MoU itu memberi fokus kepada penubuhan Alibaba Centre of Excellence di Medini sebagai hab pembelajaran, penyelidikan dan kolaborasi serta pembangunan bakat AI selain inovasi digital secara intensif.
Turut menjadi fokus ialah pelaksanaan Program Alibaba AI Design Expert Certification bagi melahirkan pakar AI Johor yang mampu mengendalikan projek dunia sebenar dan bukan sekadar teori.
“Kumpulan pertama pendaftaran dijangka bermula pada suku kedua 2026 melibatkan kira-kira 200 pelatih terawal sekali gus meningkatkan kemahiran dan nilai pasaran anak Johor selaras dengan pembangunan JTDC.
“Semoga kerjasama ini memberi impak besar kepada industri AI serantau dan merealisasikan aspirasi menjadikan Johor sebagai hab teknologi AI utama di Malaysia,” katanya.
Menerusi hantaran itu, Aznan memaklumkan telah mengadakan lawatan kerja bersama-sama delegasi JTDC ke Alibaba Business School di ibu pejabat Alibaba, Hangzhou, China yang memberi pendedahan kepada ekosistem teknologi gergasi dunia serta aplikasi sebenar AI dalam pendidikan serta industri.
Beliau berkata mereka juga diberi taklimat khas mengenai proses perniagaan Alibaba serta penggunaan teknologi AI yang dimanfaatkan bagi meningkatkan kecekapan, daya saing dan pembangunan bakat secara mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial