BELANJAWAN 2025 > BERITA

ISF Group Sasar Kumpul RM61.15 Juta Daripada IPO

08/01/2026 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Penyedia penyelesaian perpaipan ISF Group Bhd dari Johor menyasarkan untuk mengumpul RM61.15 juta daripada tawaran awam permulaannya (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Januari 2026.

Pengarah Urusan Jeff Ai Boon Chen berkata syarikat itu berhasrat untuk memperuntuk sebanyak RM11.4 juta bagi pembinaan dan pengembangan kemudahan operasinya.

“Kami akan membina ibu pejabat dan kemudahan penyimpanan baharu di Johor.

“Kami merancang untuk menubuhkan pejabat baharu, iaitu Pejabat Wilayah Tengah di Selangor atau Negeri Sembilan dan Pejabat Wilayah Utara di Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran prospektus kumpulan itu hari ini.

Beliau berkata pembinaan pejabat wilayah tengah akan bermula pada suku kedua tahun ini.

Ai juga berkata kumpulan itu berhasrat untuk membangunkan aktiviti perniagaan sedia ada dengan membeli kilang dan jentera baharu bagi mengurangkan kebergantungannya kepada penyewaan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaksanaan IPO tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 185.3 juta saham biasa baharu (saham terbitan), mewakili 18.53 peratus daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan.

Ini termasuk tawaran jualan 90 juta saham sedia ada (saham tawaran), yang mewakili sembilan peratus daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan.

“Daripada 185.3 juta saham terbitan, 50 juta saham terbitan akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia melalui undian, manakala 15 juta saham terbitan akan disediakan kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan (peruntukan borang merah jambu).

"Sebanyak 35 juta saham terbitan akan disediakan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), manakala baki 85.30 juta saham terbitan akan disediakan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur terpilih," katanya.

Sementara itu, semua 90 juta saham tawaran akan disediakan melalui tawaran saham persendirian kepada pelabur bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI.

Selepas disenaraikan, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM330 juta, berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.0 bilion saham dan harga IPO sebanyak RM0.33 sesaham.

Susulan pelancaran prospektus itu, permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 5.00 petang, 14 Januari 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan