CYBERJAYA, 22 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan sistem e-invois di Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila lebih 820.5 juta e-invois telah dikeluarkan setakat hari ini, melibatkan penyertaan lebih 111,600 pembayar cukai di seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, berkata penyertaan tersebut bukan sahaja merangkumi pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga yang melaksanakan e-invois secara mandatori, malah turut melibatkan pembayar cukai fasa keempat yang menyertai secara sukarela.
“Statistik ini menunjukkan bahawa pelaksanaan e-invois diterima dengan sangat baik dalam kalangan perniagaan di Malaysia. Tahap pematuhan secara mandatori juga mencatatkan peratusan yang amat memberangsangkan.
“Bagi fasa satu dan dua, tahap pematuhan melebihi 90 peratus. Fasa tiga pula belum sampai penghujung (Disember 2025), namun ia telah mencatatkan pematuhan melebihi 80 peratus,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus LHDN Bersama Persatuan Perdagangan di sini hari ini.
Kerajaan sebelum ini memperkenalkan pelaksanaan e-invois secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
E-invois telah diperkenalkan di beberapa negara sejak 2001, termasuk Chile, Brazil, Mexico, Denmark, Itali, Perancis, dan Arab Saudi.
Abu Tariq berkata pelaksanaan e-invois turut menghadapi cabaran dalam kalangan pemain industri, antaranya ketidaktepatan data.
“Antara punca utama pelaksanaan e-invois terganggu ialah penghantaran e-invois yang tidak tepat, khususnya apabila pembayar cukai tidak mempunyai nombor TIN (nombor pengenalan cukai) yang betul.
“Keadaan ini menyebabkan e-invois ditolak. Oleh itu, pembayar cukai boleh menyemak TIN mereka melalui portal rasmi LHDN untuk memastikan data tepat. Tanpa maklumat yang betul, e-invois akan ditolak pada peringkat awal,” katanya.
Fasa keempat e-invois yang akan bermula 1 Jan ini melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta.
Pada 6 Dis, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois kepada RM1 juta (daripada RM500,000) bermula tahun depan bagi mengurangkan beban perusahaan kecil dan sederhana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial