BELANJAWAN 2025 > BERITA

NS Fest 2025 Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Negeri

21/12/2025 12:48 PM

NILAI, 21 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan Karnival Negeri Sembilan Fest 2025 (NS Fest) mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi secara konsisten dan mampan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata NS Fest kali ini menyasarkan 1.4 juta pengunjung susulan rekod memberangsangkan tahun lepas dengan kehadiran 1.1 juta pengunjung dengan jualan mencecah RM4.3 juta.

Buat julung-julung kalinya penganjuran festival kali ini diadakan selama 12 hari bermula semalam, yang  menghimpunkan penyertaan usahawan tempatan, sektor agromakanan, industri kecil dan sederhana (IKS), peruncitan serta promosi pelancongan negeri. 

“Festival itu juga berperanan sebagai ‘magnet’ ekonomi yang bukan sahaja menarik penyertaan rakyat di negeri ini, malah pengunjung dari negeri lain, sekali gus merangsang aktiviti perniagaan, keusahawanan dan pelancongan tempatan," katanya pada majlis perasmian NS Fest 2025 di Dataran Nilai, malam tadi.

Aminuddin berkata festival itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya berperanan sebagai platform strategik bagi memperkukuh ekosistem ekonomi masa hadapan negeri melalui pemerkasaan sektor utama, pembangunan industri bernilai tinggi huluan dan hiliran serta peluasan ekosistem pelancongan pintar.

NS Fest tahun ini turut menampilkan pelbagai segmen strategik berimpak tinggi yang merangkumi segenap lapisan rakyat, sekali gus membuka peluang kerjasama baharu dalam sektor ekonomi, keusahawanan dan industri kreatif.

"Penganjuran selama 12 hari, berbanding edisi terdahulu diharap dapat memberikan ruang lebih luas kepada peniaga dan pengusaha tempatan menjana pendapatan serta memperluas pasaran produk masing- masing,” katanya.

Beliau berkata NS Fest juga mampu berkembang menjadi acara ikonik negeri yang menghimpunkan kepelbagaian sektor ekonomi, budaya dan keusahawanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan