KOTA KINABALU, 15 Dis (Bernama) -- Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-40 yang bakal berlangsung selama dua hari bermula Rabu ini akan membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 baru-baru ini.
Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai berkata para perwakilan juga akan membincangkan dasar dan usul untuk mempertahankan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta strategi untuk menangani isu-isu rakyat seperti pembangunan infrastruktur, kos sara hidup dan peluang ekonomi.
Beliau berkata persidangan itu juga akan menjadi platform penting untuk perwakilan menilai semula perjalanan parti sejak ditubuhkan 40 tahun lepas.
"Seiring dengan sambutan 40 tahun penubuhannya dan melangkah dekad kelima, PBS terus mempertahankan kepentingan Sabah, mempromosikan pembangunan inklusif dan memastikan suara rakyat didengari," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dijangka merasmikan persidangan yang akan diadakan di Dewan KDCA di Penampang.
Pada PRN Sabah 29 Nov lepas, PBS diberikan 15 kerusi dan memenangi tujuh daripadanya, iaitu Kundasang, Matunggong, Kiulu, Tandek, Lumadan, Telupid dan Limbahau sekali gus menyumbang kepada 29 DUN dimenangi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial