Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 11 Dis (Bernama) -- Malaysia dan Thailand meneroka potensi untuk memperluaskan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkukuh tenaga kerja teknikal dan berkemahiran tinggi kedua-dua negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menekankan bahawa kerjasama TVET khususnya dalam bidang pertanian, mampu meningkatkan peluang pekerjaan, memantapkan pembangunan modal insan dan menyokong pertumbuhan ekonomi di kedua-dua negara.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan Pengerusi Majlis TVET Negara berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, di Rumah Kerajaan, Khamis.
Katanya selain bidang pertanian, latihan kemahiran dalam sektor pembuatan, teknologi digital serta program mobiliti pelajar dan pensyarah turut diberikan perhatian dalam usaha sama itu.
“Bidang TVET penting bagi melengkapkan belia luar bandar dengan kemahiran teknikal yang relevan dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR),” katanya.
Tambahnya, antara program perintis yang akan menjadi titik permulaan kerjasama TVET antara kedua-dua negara ialah program latihan untuk jurulatih.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata dalam pertemuannya dengan Anutin, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk memperkukuh kerjasama industri halal, termasuk pembangunan rantaian nilai halal, pelaburan dalam produk halal dan peluang eksport bersama.
“Malaysia menyambut baik minat Thailand untuk meneroka potensi halal secara lebih menyeluruh, memandangkan permintaan global yang semakin meningkat,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Thailand turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Dewan Negara merangkap Speaker Dewan Perwakilan Thailand, Wan Muhamad Noor Matha.
Sebagai rekod, pada 2024, Thailand merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan RM114.56 bilion (US$25.03 bilion).
Dari Januari hingga Oktober 2025, jumlah dagangan dua hala mencecah RM98.19 bilion (US$22.79 bilion), berbanding RM95.52 bilion (US$20.79 bilion) dalam tempoh yang sama pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial