KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sedang menimbang permintaan ektradisi oleh Malaysia pada 14 Ogos 2024 bagi penyerahan bekas pegawai institut kewangan Goldman Sachs Tim Leissner untuk dibicarakan di negara ini membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Malaysia juga telah mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan maklumat tambahan yang diminta oleh AS.
Menurut AGC, tekad menegakkan keadilan berkaitan dana 1MDB menuntut keazaman dan kecekalan yang berterusan.
“Rata-rata masyarakat di Malaysia mempunyai kebimbangan yang mendalam tentang peranan yang dimainkan oleh Goldman Sachs dalam satu daripada skim penipuan terbesar dalam sejarah moden, yang menyasarkan rakyat Malaysia sebagai mangsa utamanya.
"Sejak tahun 2023, apabila Roger Ng (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dikembalikan kepada penyiasat Malaysia selepas dibicarakan dan disabitkan kesalahan di Amerika Syarikat, terdapat maklumat baharu yang ditemukan.
"Malaysia terus berusaha untuk mendapatkan dokumen-dokumen yang tidak pernah diperoleh sebelumnya, dan individu termasuk Tim Leissner yang tidak pernah dibicarakan dalam sistem keadilan Malaysia," menurut kenyataan itu.
AGC memaklumkan Malaysia mengalami bukan sahaja kesan implikasi kewangan yang berterusan tetapi juga kerugian yang tidak dapat dipulihkan sehingga usaha giat selesai sepenuhnya.
"Justeru, Malaysia tidak akan berputus asa dalam mendapatkan pemulihan yang adil dan wajar daripada perbankan gergasi global dan semua yang bersekongkol dalam perlakuan jenayah ini," menurut kenyataan itu.
Pada 29 Mei lepas, Bernama melaporkan Leissner yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York atas peranannya dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.
Hakim Margo Brodie menyifatkan tindakan Leissner sebagai “berani dan tidak beretika” dan menyatakan kerjasama Leissner dengan pihak pendakwaan diambil kira dalam keputusan hukuman namun ia tidak mampu menebus kerosakan yang berpunca daripada rasuah pada peringkat tertinggi di beberapa negara.
Ketika membaca kenyataannya di mahkamah, Leissner turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menyatakan bahawa dia kesal atas tindakannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial