KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa menerbit dan menerbit semula sukuk jangka pendek berjumlah US$1.35 bilion (US$1 = RM4.15) merangkumi lima tempoh matang, penawaran dengan julat kematangan paling luas dalam satu lelongan setakat ini.
Dalam satu kenyataan, IILM berkata jualan tersebut melibatkan sukuk bernilai US$290 juta (sebulan) pada kadar 4.10 peratus, US$385 juta (dua bulan) pada 4.15 peratus, US$365 juta (tiga bulan) pada 4.10 peratus, US$210 juta (enam bulan) pada 4.12 peratus serta US$100 juta bagi nota baharu sembilan bulan pada 4.05 peratus.
IILM berkata penambahan tempoh sembilan bulan itu memperluas instrumen kecairannya dan memberi institusi kewangan Islam lebih fleksibiliti dalam mengurus pembiayaan yang mematuhi Syariah.
Dengan terbitan baharu ini, jumlah sukuk jangka pendek IILM yang masih beredar akan meningkat kepada paras tertinggi baharu sebanyak US$6.4 bilion.
Lelongan tersebut menarik bidaan keseluruhan berjumlah US$3.29 bilion, dengan nisbah bidaan kepada tawaran purata sebanyak 2.44 kali.
Ketua Pegawai Eksekutif IILM Mohamad Safri Shahul Hamid berkata tempoh baharu itu memenuhi permintaan pasaran bagi penempatan jangka pendek yang lebih panjang selari dengan asset-backed commercial papers dalam denominasi dolar AS.
“Pengembangan spektrum matang kami mengukuhkan lagi nilai tambah IILM dengan menyediakan rangka kerja pengurusan kecairan yang lebih mantap dan efisien kepada pelabur,” katanya.
Ini merupakan lelongan ke-20 IILM setakat tahun ini, menjadikan jumlah terbitan 2025 meningkat kepada US$21.55 bilion merentasi 65 siri, di bawah program US$8.5 bilion yang menerima penarafan “A-1” daripada S&P Global Ratings dan “F1” daripada Fitch Ratings.
Antara pihak utama yang mengambil bahagian ialah Abu Dhabi Islamic Bank, Al Baraka Turk, Affin Islamic Bank, Al Rayan Bank, Boubyan Bank, CIMB Islamic Bank Bhd, Dukhan Bank, First Abu Dhabi Bank, Golden Global Investment Bank, Kuwait Finance House, Kuwait International Bank, Maybank Islamic Bhd, Meethaq Islamic Banking (Bank Muscat), Qatar Islamic Bank dan Standard Chartered Bank.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial