BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pengundi Api-Api Diajak Kekalkan Sokongan Kepada Calon PH

17/11/2025 07:18 PM

KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengajak semua pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api supaya terus memberikan sokongan kepada calon PH Thonny Chee, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17. 

Saifuddin Nasution berkata sokongan berterusan kepada Chee itu penting bagi memastikan suara penduduk Api-Api dapat dibawa ke peringkat negeri secara lebih efektif dan berkesan sekali gus mengekalkan momentum perkhidmatan PH di kawasan itu sejak dua penggal lepas.

“Kami letakkan kepercayaan kepada Thonny Chee kerana dari segi latar belakang pendidikan, beliau seorang peguam. Itu antara pertimbangan yang kami guna pakai dalam meletakkannya sebagai calon.

“Thonny Chee juga berpengalaman luas dari segi aktiviti dan penglibatan kemasyarakatan, dan ini memberikan banyak kelebihan. Dengan umur yang muda, kita perlukan suara mewakili anak muda dan saya percaya Thonny Chee boleh memainkan peranan efektif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program santai bersama calon PH bagi DUN Api-Api Thonny Chee di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata sokongan terhadap Thonny Chee juga akan memudahkan pelbagai isu diselesaikan, khususnya yang memerlukan hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. 

“Sekiranya Thonny Chee dan sejumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dipilih, dan kami menyertai kerajaan negeri, saya percaya penglibatan kami akan menjadi jauh lebih efektif kerana ada keserasian kerajaan negeri dengan Persekutuan.

“Itu memberikan kelebihan berbanding jika yang menang adalah dalam kalangan yang hostile kepada kerajaan Persekutuan. Itu tidak membantu bahkan merugikan rakyat Sabah seluruhnya,” katanya.

Kerusi DUN Api-Api menyaksikan Thonny Chee dicabar empat calon lain, iaitu Ng Chun Sua (Parti Impian Sabah), Ting Shu Kiong (STAR), Soh Kee Suat @ So Chee Say (Parti Bumi Kenyalang) dan Loi Kok Liang (Warisan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala 25 Nov hari mengundi awal.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan