BELANJAWAN 2025 > BERITA

Timbalan Gabenor BNM Lawat Dapur Berpusat Timur Laut NCER

17/11/2025 05:57 PM

GEORGE TOWN, 17 Nov (Bernama) -- Lawatan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid ke projek Dapur Berpusat di daerah Timur Laut di sini hari ini mengetengahkan peranan projek berkenaan sebagai model perintis di bawah program pembiayaan sosial iTEKAD.

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) memaklumkan delegasi lawatan kerja telah menyaksikan sendiri operasi dapur serta berinteraksi dengan usahawan yang menyertai projek terbabit terdiri daripada golongan B40 dan perniagaan yang dijalankan di rumah.

Projek berkenaan menyediakan kemudahan peralatan yang lengkap, pensijilan sijil halal, menangani cabaran kos sewaan yang tinggi dan ruang yang terhad, sekali gus membolehkan mereka meningkatkan pengeluaran dengan ketara.

“Dapur Berpusat ini dibina berdasarkan projek perintis pada 2021 bersama Giat MARA Bukit Bendera, yang mencatatkan peningkatan hasil pengeluaran sebanyak 75 peratus yang melibatkan 15 usahawan.

“Berlandaskan konsep yang telah terbukti ini, NCER melancarkan fasiliti yang lebih komprehensif ini dengan sokongan rakan strategiknya, Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLISB), melalui dana iTEKAD (satu inisiatif (BNM),” menurut NCER dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata inisiatif Dapur Berpusat adalah satu model baharu di bawah Program Pembiayaan Sosial iTEKAD dan ia mengukuhkan program pembangunan usahawan serta menyokong pertumbuhan ekosistem ekonomi halal yang inklusif dan mampan di NCER.

Beliau berkata ia merupakan satu intervensi strategik untuk Wilayah Utara, yang selari dengan mandat NCER untuk mewujudkan rantaian nilai dan ekosistem yang mantap serta bersepadu bagi bahan dan produk halal.

"Kami berbangga kerana dapat bekerjasama dengan HLISB melalui dana ITEKAD, dengan kejayaan projek perintis sebelum ini, NCER menyediakan sokongan yang lengkap untuk membina perniagaan yang mampan dan memupuk komuniti yang lebih makmur," katanya.

Antara ciri utama projek itu ialah sistem "Pembelian Berpusat", yang melancarkan perolehan bahan-bahan mentah daripada sumber yang disahkan halal, sekali gus memastikan pematuhan kecekapan keseluruhan operasi.

Projek itu menyasarkan sekurang-kurangnya 40 usahawan dengan menawarkan program pembangunan komprehensif selama 18 bulan termasuk pensijilan halal, pensijilan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan (KKM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2, latihan keusahawanan serta penyertaan dalam ekspo perdagangan domestik dan antarabangsa.

Lawatan itu juga berfungsi untuk menekankan impak nyata pembiayaan sosial dalam mewujudkan model pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif untuk rantau ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan