PETALING JAYA, 13 Nov (Bernama) -- Perjuangan Malaysia menentang HIV dan AIDS sejak sekian lama adalah berasaskan belas kasihan, perkongsian dan komitmen teguh terhadap maruah manusia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
BBeliau berkata tindak balas berterusan negara mesti terus dipandu oleh empati, keterangkuman dan dasar berasaskan bukti ketika Malaysia berusaha ke arah matlamat menamatkan AIDS menjelang 2030.
"Sebagai sebuah negara, kita berpegang teguh bahawa kesihatan ialah hak asasi manusia dan setiap orang berhak mendapat akses kepada penjagaan berkualiti, bebas stigma tanpa mengira latar belakang, keadaan atau sejarah,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Red Ribbon Gala 2025 anjuran Yayasan AIDS Malaysia (MAF malam ini.
Beliau berkata walaupun terdapat kemajuan yang ketara, stigma dan diskriminasi kekal antara halangan terbesar terhadap ujian dan rawatan.
"Kita mesti terus menggantikan ketakutan dengan empati, dan pertimbangan dengan pemahaman, kerana penamatan AIDS memerlukan bukan sahaja ubat tetapi juga harapan dan kemanusiaan. Tiada kementerian, tiada yayasan, dan tiada syarikat boleh melakukan ini sendirian. Kita memerlukan usaha semua pihak," katanya.
Selain itu, Dzulkefly menyifatkan program Differentiated HIV Services for Key Populations ((DHSKP) sebagai model kerjasama berkesan yang memperkasakan pekerja penjagaan kesihatan komuniti untuk berfungsi sebagai jambatan yang dipercayai antara populasi utama dan klinik awam.
Mulai 2025, kerajaan telah meningkatkan peruntukan tahunan untuk program DHSKP kepada RM8 juta selain RM80 juta setahun bagi mengekalkan perkhidmatan rawatan dan sokongan HIV di seluruh negara.
Beliau berkata model tiga pihak yang menyatukan kepimpinan kerajaan, penglibatan masyarakat sivil dan inovasi korporat telah menjadi asas tindak balas HIV Malaysia.
Red Ribbon Gala 2025 berjaya mengumpul RM2.2 juta melalui tajaan dan jualan meja, yang secara langsung akan menyokong program rawatan, penjagaan dan pencegahan berasaskan komuniti MAF di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial