BELANJAWAN 2025 > BERITA

PRN Sabah: Belia Teruja Bergelar Pengundi Buat Kali Pertama

13/11/2025 12:56 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

SEMPORNA, 13 Nov (Bernama) -- Golongan belia di sini bukan sahaja teruja menjadi pengundi buat kali pertama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, tetapi juga sedar akan tanggungjawab itu yang bakal menentukan masa depan negeri secara amnya dan Semporna secara khususnya.

Pelajar Kolej Komuniti Semporna Muhammad Sharijan Majinji, 18, berkata sebagai pengundi muda, ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang calon yang akan dipilih ialah mereka mampu memberikan manfaat kepada belia.

"Kami akan undi calon yang boleh menaik taraf Semporna dari segi kemudahan seperti tempat pembuangan sampah yang teratur, membaiki jalan rosak dan mencari langkah untuk mengurangkan masalah kesesakan jalan raya," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohammad Shafie Ebit, 18, pula berkata pengundi muda kini lebih terbuka dengan pemikiran yang matang, selain memainkan peranan penting dalam memilih pemimpin yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak golongan itu.

"Pengundi muda ini lebih terbuka untuk mengundi, fikiran lebih luas, boleh fikir pemimpin yang bagus untuk belia," katanya.

Bagi Azlijah Hadis, 20, mengundi bukan sekadar terikut-ikut dengan rakan sebaya, tetapi memahami erti sebenar tanggungjawab sebagai seorang pengundi demi kepentingan mereka, kawasan yang mereka diami dan Sabah secara keseluruhan.

"Kami diberi pendedahan tentang proses pengundian supaya dapat mengundi dengan lancar. Saya sangat teruja kerana sudah boleh mengundi," kata pelajar Sijil Pengembaraan Pelancongan itu.

Pada 7 Nov lepas, Pengerusi IDE Research Centre Prof Emeritus Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman menjangkakan pengundi belia menjadi faktor penentu kemenangan parti yang bertanding pada PRN Sabah ke-17 pada hujung bulan ini.

Beliau berkata berdasarkan kajian pihaknya, kira-kira 27 peratus pengundi di Sabah terdiri daripada golongan atas pagar dan pilihan mereka lebih bergantung pada tawaran masa depan yang diyakini, bukan kesetiaan terhadap mana-mana parti.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal pada 25 Nov.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan