KOTA KINABALU, 13 Nov (Bernama) -- Langkah kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan negeri itu.
Pengerusi Majlis Perniagaan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Tawau Wong Thart Sin berkata keputusan itu membuka ruang perbincangan untuk membawa lebih banyak hasil ke Sabah.
"Saya percaya melalui hasil itu, pembangunan mampan dapat direalisasikan seperti kemudahan infrastruktur, pendidikan dan kesihatan yang bakal memberi manfaat yang besar kepada rakyat.
“Pembangunan ekonomi penduduk setempat juga dapat dilaksanakan dengan lebih baik misalnya peruntukan kepada satu kampung untuk satu perusahaan mikro, kecil dan sederhana diwujudkan," katanya kepada Bernama.
Pada 17 Okt, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan bagi tahun 1974 hingga 2021.
Pada Isnin lepas, Jabatan Peguam Negara memaklumkan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu.
Bagi pereka fesyen, Mohd Norwahidin Noordin, 24, pemberian khas itu dapat memajukan kawasan pelancongan seperti di tempat kelahirannya di Semporna sebagai pusat pelancongan berdaya maju yang seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.
“Semporna semakin menjadi tumpuan pelancong luar untuk melancong ke pulau-pulau di daerah itu, oleh itu kemudahan infrastruktur perlu ditambah baik dengan membina lebih banyak hotel-hotel sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.
Hasil itu dapat membiayai pembinaan sebuah lapangan terbang di Semporna bagi memudahkan akses kepada pelancong memandangkan ketika ini mereka perlu mendarat di Lapangan Terbang Tawau yang terletak lebih 80 kilometer dari bandar Semporna.
Pekerja swasta, Noor Aina Abdul Aziz, 51, juga sependapat agar pembangunan di Semporna dan daerah lain di Sabah dipertingkatkan terutamanya dalam menyediakan rumah mesra rakyat yang mampu dimiliki penduduk tempatan.
Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata penempatan setinggan masih banyak kelihatan di Semporna dan berharap pembinaan rumah mampu milik dapat memberi keselesaan kepada penduduk.
“Kalau boleh buatlah pembangunan di Semporna yang dapat membuka peluang pekerjaan kerana ramai yang tidak mempunyai pekerjaan di sini,” katanya.
Bagi pesara guru Haidin Osman, 62, dari Sandakan keputusan tidak meneruskan rayuan itu memperlihatkan keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan mahu melihat negeri itu membangun dengan mampan.
“Dengan adanya hasil itu dikembalikan itu bolehlah Sabah merancang dan merancakkan pembangunan dan ekonomi. Kita sebagai rakyat negeri Sabah bersyukur dan berterima kasih, bermakna kerajaan Persekutuan amat prihatin keadaan kita di Sabah,” katanya.
Penjawat awam Faizan Mohamad, 38, dari Tawau percaya hubungan baik antara Persekutuan dan negeri mampu membuahkan hasil yang baik dalam membincangkan perlaksanaan pemberian 40 peratus hasil itu.
Beliau juga meletak kepercayaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk melakukan yang terbaik dalam merangka mekanisme bagi melaksanakan pemberian berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial