BELANJAWAN 2025 > BERITA

JS-SEZ : Malaysia, Singapura Dan Indonesia Mulakan Perbincangan Kerjasama Tiga Hala - Tengku Zafrul

13/11/2025 12:54 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia, Singapura dan Indonesia telah memulakan perbincangan kerjasama tiga hala berkaitan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong serta Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sebelum ini, mereka telah bersetuju bahawa negara-negara terbabit perlu meneliti segala perincian dan dibincangkan secara rasmi.

“Kita masih menunggu (tindakan) pegawai kanan untuk meneliti peluang serta membincangkannya secara rasmi. Ini telah dibincangkan sebelum ini, namun masih belum disusuli (lagi).

“Inilah sebabnya kita perlu menelitinya. Kita belum melaksanakan kajian mendalam mengenainya dan perlu melihatnya secara lebih terperinci,” katanya pada sidang media mengenai prestasi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk suku ketiga 2025 di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang garis masa bagi perbincangan itu dimuktamadkan.

Pada 24 Oktober lepas, Gan berkata Singapura sedang meninjau kerjasama tiga hala dengan Malaysia dan Indonesia bagi menarik pelabur dan perniagaan ke JS-SEZ serta Kepulauan Batam, Bintan dan Karimun (BBK).

JS-SEZ adalah inisiatif kerjasama antara Malaysia dan Singapura bagi memacu pertumbuhan ekonomi rentas sempadan manakala BBK merupakan wilayah ekonomi khas di Indonesia dengan Singapura berperanan sebagai pelabur utama.

Kawasan JS-SEZ meliputi zon pembangunan utama seperti Iskandar Malaysia, Forest City, Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang dan Desaru dengan jumlah keluasan kawasan kira-kira 357,128 hektar.

Wilayah Iskandar Malaysia merangkumi kawasan strategik seperti Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas–Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai–Skudai dan Sedenak.

Kawasan yang dikenali sebagai zon utama ini juga masing-masing akan menumpukan projek daripada pelbagai sektor penting ekonomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan