BELANJAWAN 2025 > BERITA

Johor Bentang Belanjawan 2026 Berjumlah RM2.546 Bilion, Lebihan RM4.45 Juta

13/11/2025 11:12 AM

ISKANDAR PUTERI, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan Johor hari ini membentangkan Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion yang meningkat berbanding RM1.999 bilion pada 2025 dengan menumpukan usaha menjamin kebajikan, kesejahteraan Bangsa Johor serta mengukuhkan kedudukan fiskal negeri.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata unjuran hasil negeri dianggarkan meningkat kepada RM2.55 bilion, sekali gus menjadikan Johor antara negeri dengan asas kewangan paling kukuh di Malaysia dan melangkaui unjuran awal Belanjawan Johor 2025.

Beliau berkata Belanjawan Johor 2026 turut mencatat lebihan sebanyak RM4.45 juta susulan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan keberkesanan strategi ekonomi negeri.

“Alhamdulillah, ekonomi dan prestasi Johor Darul Ta’zim dalam keadaan amat memberangsangkan.

“Johor juga kini berada di landasan kukuh dengan hasil negeri mencecah RM2.5 bilion, disokong oleh peningkatan kutipan zakat, hasil pihak berkuasa tempatan (PBT), Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) serta keuntungan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Onn Hafiz berkata Belanjawan Johor 2026 berpaksikan tema “Bangsa Johor Sejahtera” dan dirangka selaras dengan Enam Teras Maju Johor yang merangkumi 260 inisiatif pembangunan sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh tiga tahun enam bulan, Johor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM218 bilion serta mewujudkan lebih 64,000 peluang pekerjaan dengan kadar pengangguran kekal rendah pada 2.3 peratus.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor sebanyak 6.4 peratus turut menjadikan negeri itu mencatat kadar pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia manakala nilai hasil jualan sektor pertanian berjumlah RM27.2 bilion juga yang tertinggi dalam negara.

“Peningkatan hasil ini bukan sahaja mencerminkan kekuatan ekonomi Johor, tetapi juga bukti bahawa setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini membuahkan hasil nyata kepada rakyat,” katanya.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga komited untuk terus mengekalkan momentum pertumbuhan itu melalui pelaksanaan pelan pembangunan berasaskan pelaburan strategik, inovasi dan kemakmuran inklusif menjelang 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan