SEMPORNA, 13 Nov (Bernama) -- Persiapan bagi proses penamaan calon pada Sabtu ini untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semporna berjalan lancar.
Pegawai Daerah Semporna Mas Syazwan Masood berkata penamaan calon bagi DUN Senallang, DUN Bugaya dan DUN Sulabayan akan diadakan di Dewan Arena Masyarakat Semporna.
Mas Syazwan, yang juga Pegawai Pengurus Pilihan Raya Semporna, berkata persiapan PRN Sabah Ke-17 hingga hari pengundian berjalan seperti yang dirancang termasuk logistik ke kawasan pulau di Semporna.
"Kita juga mengambil kira pengundi yang paling jauh seperti Pulau Denawan, bersempadan dengan Filipina, yang pengundinya ada kira-kira 157 orang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata perjalanan ke pulau itu mengambil masa kira-kira sejam dari Pekan Semporna dan oleh itu, pihaknya membuka satu pusat mengundi bagi memastikan pengundi dapat mengundi dengan selesa.
Mas Syazwan juga berkata bagi undi awal yang melibatkan anggota keselamatan, enam pusat mengundi awal akan dibuka Pekan Semporna.
Beliau berkata ia adalah antara penambahbaikan yang dibuat agar proses pengundian berjalan lancar pada hari pengundian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna DSP Jaafar Hakim pula berkata beberapa jalan utama menuju ke dewan penamaan akan ditutup dari 5 pagi hingga 12 tengah hari pada Sabtu ini.
Beliau berkata laluan yang terlibat ialah jalan masuk ke pusat bandar iaitu Jalan Semporna-Tawau, simpang keluar dari arah restoran KFC.
Jalan lain bulatan gong ke dataran Lepa (Jalan Causeway) dan Jalan Mahkamah, Jalan Habirun Extension (Simpang Taman Cahaya) ke Jalan Tun Fuad dan Jalan Mahkamah serta bangunan Ninso Semporna menuju ke Jalan Majinji.
Jaafar berkata lencongan jalan dibuat di hadapan Pejabat Daerah Semporna menuju ke arah jalan Hospital Semporna dan Jalan Habirun Extension (Simpang Taman Cahaya) menuju ke Jalan Simunul.
Beliau berkata pengguna jalan raya yang menuju ke kawasan bandar baharu seafront dinasihat melalui jalan dari bulatan menuju Hospital Semporna, dan lencongan jalan melalui masjid akan dibuat menuju ke arah jalan menuruni jalan Pasar Tongtalun," katanya.
Pengguna jalan raya disaran merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif serta mengikuti arahan anggota polis yang bertugas pada hari penamaan calon bagi kelancaran aliran trafik.
"Diingatkan kepada semua calon dan penyokong yang bertanding agar mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan, serta tidak melakukan kesalahan yang boleh mengganggu kelancaran proses hari penamaan calon," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan pada 15 Nov dan 25 Nov sebagai pengundian awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial