KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) melakar sejarah penting apabila mengumumkan Deklarasi Shanghai: Strategi Pendidikan Bagi Memperkukuh Masa Depan Perdagangan Koperasi sebagai hala tuju baharu perdagangan koperasi global.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata dokumen itu menjadi penanda aras utama dalam memperkukuh rangka kerja kerjasama koperasi serantau dan global ke arah mewujudkan ekonomi yang lebih adil, inklusif dan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) berkata deklarasi berkenaan dimeterai pada Forum Perdagangan dan Pembangunan ICA di Shanghai hari ini, bersempena dengan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa 2025.
“Dokumen ini penting yang menandakan iltizam seluruh rantau untuk membina gerakan koperasi yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan anggota.
“Deklarasi Shanghai menegaskan bahawa perdagangan koperasi perlu menjadi teras utama kepada strategi pembangunan koperasi masa hadapan, khususnya di rantau Asia Tengah dan Afrika yang sedang pesat membangun,” katanya menerusi kenyataan.
Abdul Fattah berkata Deklarasi Shanghai merangkumi 11 tonggak utama, antaranya hala tuju masa depan perdagangan koperasi; perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI); peranan ICA melangkaui perdagangan; pameran perdagangan koperasi dan keselamatan makanan; serta Matlamat Pembangunan Mampan baharu selepas 2030.
Tonggak lain termasuk dasar kerajaan, label koperasi global, serta seruan kepada golongan satu peratus terkaya dunia untuk turut menyertai agenda koperasi bagi membiayai inisiatif sosial yang mampu mewujudkan pekerjaan besar-besaran dan menghapuskan kemiskinan struktur.
Beliau berkata deklarasi itu turut menekankan keperluan memperkukuh identiti dan pengiktirafan koperasi pada peringkat antarabangsa melalui penjenamaan Co-op Label dan domain “.coop” sebagai tanda dagangan global yang menjamin ketelusan, inovasi digital dan penambahbaikan berterusan.
“Bagi Malaysia, penyertaan dalam deklarasi ini memperkukuh komitmen negara sebagai rakan strategik dalam memperkasakan gerakan koperasi serantau dan global,” katanya.
Abdul Fattah turut membentangkan kertas kerja bertajuk "Membina Kerangka Kerjasama Serantau Asia-Pasifik: Memperkukuh Kerangka Perdagangan Koperasi" dalam sesi perbincangan resolusi berkenaan, sambil menegaskan bahawa koperasi bukan sekadar pemangkin ekonomi rakyat, tetapi juga platform memperjuangkan keadilan ekonomi dan kesejahteraan sejagat.
Forum berkenaan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah ICA Jeroen Douglas dan dihadiri 42 wakil negara anggota termasuk Bangladesh, Bulgaria, China, Fiji, Filipina, India, Itali, Jordan, Kazakhstan, Kenya, Korea Selatan, Mongolia, Nepal, Belanda, Singapura, Sri Lanka dan Vietnam.
Deklarasi Shanghai kini menjadi dokumen panduan utama bagi mengemudi hala tuju gerakan koperasi antarabangsa dalam dekad mendatang, dengan tekad bersama-sama membina masa depan perdagangan yang adil, inklusif dan berasaskan nilai kemanusiaan sejagat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial