BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKM Tempatkan Pakar Perubatan Di Hospital Luar Bandar - Dr Dzulkefly

11/11/2025 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) telah mula menempatkan pakar perubatan termasuk pakar perubatan kecemasan serta perubatan dalaman di hospital luar bandar bagi memastikan khidmat kepakaran tidak hanya tertumpu di hospital utama.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan lebih menyeluruh dan berkualiti dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar.

“Hospital rujukan di negara ini tidak banyak. Bagi tangani isu itu, kita mula menempatkan beberapa pakar di hospital-hospital daerah utama iaitu hospital tersebut tidak mempunyai pakar secara tetap.

“… kita juga merancang untuk melaksanakan prosedur pembedahan ringan di klinik-klinik (kesihatan). Ini antara inisiatif pembaharuan yang akan terus kita pertingkatkan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang penempatan baharu bagi pakar-pakar perubatan tetap di luar bandar.

Dalam isu berasingan, Dzulkefly berkata KKM melaksanakan pemantauan dan penilaian berkala berhubung keperluan operasi dan tanggungjawab petugas perubatan secara atas panggilan atau on-call.

Beliau berkata hal berkenaan bagi memastikan jumlah pegawai yang bertugas adalah mencukupi selain menjaga kebajikan warga KKM.

“Jumlah pegawai perubatan yang bertugas secara on-call ditentukan berdasarkan keperluan perkhidmatan, beban kerja serta tahap kompleksiti kes di fasiliti kesihatan,” katanya menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai sama ada jumlah doktor yang bertugas secara on-call kini mencukupi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan