Oleh Jailani Hasan
SHAH ALAM, 8 Nov (Bernama) -- Dua tokoh terkemuka dalam sektor logistik dan maritim Malaysia antara 33 pemain industri utama di seluruh negara yang dianugerahkan Chartered Fellow (FCILT) di Konvokesyen Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia 2025 hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lion Logistics Group of Companies Datuk Seri Patrick Tiong Chiong Kui dan Pengurus Besar Labuan Port Authority (LPA) Mizool Amir Mat Drus menerima pengiktirafan tersebut daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan pada majlis di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.
Menurut CILT Malaysia, fellowship itu merupakan pengiktirafan profesional tertinggi dalam sektor logistik dan pengangkutan, dianugerahkan berdasarkan merit, kecemerlangan kepimpinan dan sumbangan cemerlang kepada kemajuan industri di Malaysia dan luar negara.
Tiong, yang menerajui antara kumpulan logistik dan pengurusan pelabuhan bersepadu terbesar di Malaysia Timur -- meliputi Megah Port Management, Sailion Shipping, Lions Transport dan Kren Antarabangsa -- diiktiraf atas peranan strategiknya dalam memacu inovasi dan pertumbuhan mampan dalam rantaian logistik maritim.
Di bawah kepimpinannya, kumpulan itu telah memperluas operasi serantau dan memperkukuh kedudukan Labuan sebagai hab maritim dan logistik utama untuk Borneo.
Sementara itu, Mizool Amir diberi pengiktirafan tersebut atas kepimpinan beliau yang cemerlang dalam tadbir urus pelabuhan dan pembangunan infrastruktur di Bintulu Port Authority dan Labuan Port Authority.
Beliau telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan pelabuhan, piawaian keselamatan dan inisiatif transformasi digital yang sejajar dengan matlamat memudah cara perdagangan dan maritim Malaysia yang luas.
Timbalan Presiden CILT Malaysia Dr Zawiah Abdul Majid berkata: “Pengiktirafan tersebut mencerminkan kepentingan yang meningkat terhadap keperluan pemimpin yang berwibawa dan berwawasan dalam memperkukuh ekosistem pengangkutan dan logistik Malaysia, terutamanya dalam menyokong daya tahan rantaian bekalan negara dan kesalinghubungan serantau.”
Beliau berkata cawangan Malaysia, yang ditubuhkan pada 1965, terus memainkan peranan penting dalam membangunkan piawaian profesional, akreditasi dan pendidikan dalam industri.
Majlis itu turut meraikan profesional terkemuka lain dari pelbagai sektor termasuk penerbangan, pengangkutan awam, rel dan pengurusan rantaian bekalan, diiktiraf atas pencapaian profesional dan sumbangan mereka terhadap pembangunan negara.
Ditubuhkan pada 1919, CILT ialah sebuah badan profesional global yang komited untuk menggalakkan kecemerlangan dalam logistik, pengangkutan dan pengurusan rantaian bekalan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial