BELANJAWAN 2025 > BERITA

UPM Sarawak Rai 556 Graduan Pada Konvokesyen Pertama Selepas Penjenamaan Semula

01/11/2025 12:06 PM

KUCHING, 1 Nov (Bernama) -- Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49 Sidang Pertama yang meraikan 556 graduan di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) hari ini mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi konvokesyen pertama selepas penjenamaan semula kampus itu pada Jun lepas.

UPM memaklumkan majlis penuh istiadat yang berlangsung selama dua hari di Dewan Sri Kenyalang itu disempurnakan Pro Canselor UPM Tan Sri Peter Chin Fah Kui, yang menyampaikan ijazah dari peringkat diploma hingga doktor falsafah melibatkan pelbagai program pengajian.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan kelahiran graduan perintis bagi dua program baharu di UPMS, iaitu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan, sekali gus menandakan peluasan bidang akademik universiti berkenaan.

"Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar Bintulu Port Holdings Berhad turut diperkenalkan buat pertama kali bagi mengiktiraf kecemerlangan graduan dalam kepimpinan dan kokurikulum," menurut kenyataan UPM hari ini.

Penjenamaan semula UPM kampus Bintulu kepada UPMS pada 30 Jun lepas merupakan langkah strategik memperkukuh keupayaan universiti itu dalam bidang pertanian, sains haiwan dan penyelidikan, sejajar aspirasi Sarawak menjelang 2030.

Antara inisiatif strategik yang diterajui termasuk penubuhan Sekolah Veterinar dan Sains Haiwan, projek transformasi penanaman padi AgriHub@Gedong serta penubuhan Konsortium Universiti Universitas Borneo, yang memperkukuh kolaborasi antara UPMS dan kerajaan Sarawak dalam membina ekosistem pendidikan tinggi dan penyelidikan berimpak global.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan