KUALA LUMPUR, Oct 13 (Bernama) -- Pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim meluahkan rasa syukur dan gembira, selepas menamatkan kemarau jaringan menjelang aksi Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam esok.
Pemain Selangor FC itu yang kembali menjaringkan gol untuk Harimau Malaya selepas hampir dua tahun ketika menewaskan Laos 3-0 pada aksi Khamis lepas, menyifatkan detik tersebut sebagai permulaan baharu dalam kariernya bersama skuad kebangsaan.
Beliau yang lebih mesra disapa Mickey itu berkata kejayaan tersebut, hasil usaha gigih serta sokongan berterusan daripada rakan sepasukannya, yang sentiasa memberikan dorongan sepanjang tempoh pemulihan dan usahanya untuk kembali ke puncak prestasi.
“Alhamdulillah, selepas 623 hari tanpa jaringan hampir dua tahun, akhirnya saya berjaya kembali menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan. Saya sangat gembira kerana jurulatih memberi saya peluang untuk membuktikan kemampuan saya dan saya bekerja keras untuk mencapainya
“Saya berusaha keras untuk capai sasaran dan mendapatkan semula prestasi saya. Saya berterima kasih kepada semua rakan sepasukan, yang sentiasa menyokong dan memberi motivasi kepada saya,” katanya pada sidang media praperlawanan menentang Laos di sini, hari ini.
Pemain berusia 26 tahun itu berkata gol terbaharunya itu bukanlah penamat, sebaliknya menjadi titik permulaan baharu untuk terus memberi sumbangan terbaik buat skuad Harimau Malaya.
“Apa yang boleh saya katakan ini bukan suatu penamat, ini satu permulaan baharu untuk saya terus berjuang bersama pasukan kebangsaan,” katanya.
Sebagai rekod, Mohamad Faisal yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada pertemuan dengan Laos Khamis lepas, melengkapkan kemenangan 3-0 skuad kebangsaan kendalian Peter Cklamovski menerusi jaringan pada masa tambahan separuh masa kedua.
Malaysia yang kini mendahului Kumpulan F dengan sembilan mata, akan menentang Laos esok dalam usaha mengekalkan rekod sempurna kempen kelayakan.
Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini mendahului kumpulan dengan mengumpul sembilan mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (enam mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial