KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Tun Jeanne Abdullah dilantik sebagai Penaung Kehormat Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
MPM memaklumkan pelantikan itu sebagai mengiktiraf dedikasi berterusan serta sumbangan besar beliau terhadap Gerakan Paralimpik dan komuniti atlet para di Malaysia.
Menurut MPM, Presiden Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Setiausaha Agung Datuk Subramaniam Raman Nair telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Jeanne pada 9 Okt lepas, bagi menyampaikan penghargaan dan menandakan tamatnya tempoh secara rasmi beliau sebagai Penaung MPM.
“Sebagai pengiktirafan atas jasa dan sumbangan beliau yang amat tidak terhingga, Tun Jeanne diberi penghormatan dengan dilantik sebagai Penanung Kehormat MPM.
“Kami berasa amat berbesar hati untuk terus mengiktiraf Tun Jeanne dalam peranan ini dan merakamkan ucapan tulus ikhlas agar beliau sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kejayaan,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, Jeanne, 72, yang juga isteri kepada Perdana Menteri Malaysia kelima Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, merupakan Penaung MPM yang pertama sejak Mei 2008 hingga 31 Ogos 2025.
Sementara itu, MPM memaklumkan pengumuman penaung baharu akan dibuat pada masa yang sesuai, selaras dengan usaha badan berkenaan untuk memperkukuh kepimpinan serta meneruskan visi dan misi dalam memajukan Gerakan Paralimpik di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial