Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 12 Okt (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Thailand yang baharu, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah berikrar untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara dengan memberi tumpuan kepada peningkatan perdagangan, memperbaiki kesalinghubungan di sempadan, memperluas sektor pelancongan serta menyokong usaha keamanan di selatan Thailand.
Wan Zaidi, 56, berasal dari Johor, berkata Malaysia dan Thailand tidak pernah mengalami hubungan yang tegang, malah hubungan kedua-duanya dibina atas asas kepercayaan, saling menghormati serta berkongsi sejarah sebagai jiran rapat dalam ASEAN.
“Kita berkongsi satu daripada sempadan darat terpanjang di rantau ini dan merupakan rakan semula jadi dalam ASEAN. Hubungan kita sentiasa baik,” katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif di sini baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa antara keutamaan sepanjang tempoh perkhidmatannya ialah memperkukuh kerjasama ekonomi, khususnya dalam bidang perdagangan. Ketika ini, Malaysia dan Thailand menikmati hubungan perdagangan yang seimbang dengan Malaysia mencatat sedikit lebihan.
“Matlamat kita bukan bersaing, tetapi berkembang melalui kerjasama,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua pihak telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala kepada US$30 bilion menjelang 2027, berbanding sekitar US$24 bilion hingga US$26 bilion pada masa ini.
Bagi mencapai sasaran itu, beliau merancang untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi menangani isu tarif, mencegah lambakan barangan, memberikan keutamaan perdagangan yang sesuai, serta memodenkan kaedah promosi perdagangan.
Beliau juga berkata bahawa kedua-dua negara mempunyai potensi besar untuk memperluas kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, inovasi, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan mampan, selaras dengan hala tuju ASEAN ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan.
Wan Zaidi, yang sebelum ini berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, turut menekankan kepentingan menjadikan urusan perdagangan rentas sempadan agar lebih lancar dan berkesan.
Beliau berkata kedua-dua kerajaan kini sedang meneroka prosedur kastam yang diperkemas, menyelaras pemeriksaan serta menilai kemungkinan mewujudkan model “pemeriksaan sempadan tunggal” seperti sistem Malaysia-Singapura bagi memudahkan pergerakan barangan dan kenderaan.
Menurutnya, peningkatan kesalinghubungan termasuk jajaran jalan raya dan landasan kereta api seperti Sadao–Bukit Kayu Hitam amat penting untuk memperkukuh logistik, keselamatan serta pembangunan ekonomi di kawasan sempadan.
“Ada ketikanya komunikasi terhenti di sempadan. Kini kita berusaha bersama bagi menyelaras sistem jalan raya dan menaik taraf kemudahan sempadan supaya pergerakan lebih cepat dan selamat,” katanya.
Selain perdagangan, sektor pelancongan turut menjadi fokus utama, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Mengakui Malaysia merupakan antara penyumbang terbesar pelancong ke Thailand, Wan Zaidi percaya aliran itu boleh menjadi lebih seimbang.
“Potensi pelancong dari Thailand ke Malaysia amat besar.
"Kita menyasarkan lebih ramai pelancong dari utara Thailand untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya sambil menambah bahawa peningkatan kesalinghubungan seperti perkhidmatan tren rentas sempadan ‘MySawasdee’ dapat membantu meningkatkan ketibaan pelancong.
Dalam aspek keselamatan, Wan Zaidi menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menyokong usaha keamanan jangka panjang di selatan Thailand.
Beliau berkata wilayah itu mempunyai potensi ekonomi yang besar namun terhalang oleh cabaran politik dan keselamatan.
“Kita akan terus memainkan peranan sebagai satu daripada fasilitator proses damai selatan Thailand.
"Kerajaan Thailand menghargai penglibatan Malaysia dan kita berhasrat membantu memastikan keamanan berkekalan serta membuka ruang kerjasama ekonomi dan sosial yang lebih luas,” katanya.
Wan Zaidi yakin dengan asas kepercayaan politik yang kukuh, sempadan yang dikongsi bersama dan kekuatan yang saling melengkapi, Malaysia dan Thailand berupaya mencapai pertumbuhan bersama dan menyumbang kepada ASEAN yang lebih terhubung, bersepadu dan berdaya tahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial