BELANJAWAN 2025 > BERITA

MTA Anjur Takaful Masuk Kampung Di DUN Batu Maung

12/10/2025 07:16 PM

GEORGE TOWN, 12 Okt (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menganjurkan Siri Jelajah Takaful Masuk Kampung (TMK) dalam usaha memperkukuh agenda celik kewangan dan kesejahteraan komuniti selaras dengan Strategi Nasional Literasi Kewangan 2026-2030.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata pihaknya menganjurkan TMK kali ini dengan kerjasama Timbalan Ketua Menteri I (TKM I) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ara, dekat sini hari ini bersempena dengan Karnival Bersama TKM I Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Maung.

Beliau berkata inisiatif berkenaan digerakkan bagi memberikan pendedahan, panduan, pendidikan kepentingan pengurusan kewangan serta penekanan tentang kepentingan perlindungan takaful.

"Program yang diadakan bersempena dengan Bulan Celik Kewangan (FLM 2025) turut menyokong pelaksanaan Strategi Nasional Literasi Kewangan (NS2.0) 2026-2030, yang baru dilancarkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

"Strategi ini memberikan tumpuan kepada lima keutamaan, termasuk memperkukuh perlindungan kewangan melalui penyertaan takaful serta meningkatkan ketahanan kewangan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Rakyat Bersama TKM I DUN Batu Maung-Siri Jelajah TMK dekat sini hari ini.

Karnival itu dirasmikan oleh Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung dan pelbagai aktiviti ditawarkan antaranya senamrobik komuniti, ceramah antipenipuan oleh Bank Negara Malaysia, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pocket talk oleh pengendali takaful.

Mohd Radzuan berkata melalui program TMK itu, industri takaful bukan sekadar menawarkan perlindungan insurans, tetapi turut memupuk kefahaman dan nilai kemasyarakatan berasaskan keinsanan, solidariti dan tanggungjawab bersama.

Katanya, itulah erti sebenar perlindungan dengan tujuan bukan hanya soal sijil perlindungan, tetapi soal kebaikan dikongsi bersama.

"Melalui program ini juga masyarakat akan lebih mengetahui tentang hal-hal semasa seperti isu scam membabitkan kewangan dan juga pengurusan kredit, kami juga bawakan program celik kewangan yang akan memberikan kesan tentang perancangan wang yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata inisiatif TMK merupakan sebahagian daripada agenda Pelan Transformasi Hijrah 27, khususnya di bawah teras Kesedaran Bermakna dan Pertumbuhan Inklusif serta program itu juga menzahirkan peranan industri takaful sebagai satu sistem perlindungan yang bukan sekadar patuh syariah, tetapi berteraskan nilai kemanusiaan, keprihatinan dan tanggungjawab bersama.

Mohd Radzuan berkata pihaknya juga merancang untuk menganjurkan TMK ke beberapa lokasi lain antaranya Perak, Perlis dan juga Sarawak bagi berkongsi dan memberikan pendedahan kepada orang ramai mengenai takaful.

Katanya, TMK menjadi titik tolak penting bagi seluruh sektor kewangan termasuk industri takaful bagi memainkan peranan aktif dalam meningkatkan tahap literasi kewangan rakyat.

Sementara itu, Mohamad berkata lebih 2,000 komuniti Batu Maung dan kawasan sekitarnya menghadiri karnival sehari berkenaan serta mendapat pelbagai manfaat.

"Antara inisiatif yang turut dibawa dalam program ini ialah promosi khas untuk semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang layak, mereka boleh menebus Baucar Perlindungan Tenang bernilai RM30 bagi mendapatkan perlindungan asas di bawah produk Perlindungan Tenang yang ditawarkan oleh pengendali takaful berlesen.

"Langkah ini sejajar dengan usaha industri untuk memastikan golongan berpendapatan rendah turut mendapat akses kepada perlindungan patuh syariah yang mampu milik dan bermakna," katanya.

Sebagai tanda keprihatinan industri dan juga Mohamad terhadap komuniti setempat, turut diadakan penyampaian sumbangan termasuk 200 penerima Bakul Takaful4All, 120 penerima Hamper Deepavali DUN Batu Maung, enam penerima kerusi roda dan sumbangan komputer riba pendidikan kepada 10 pelajar institusi pengajian tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan