KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yakin keseluruhan peruntukan yang diumumkan pada Belanjawan 2026 akan membantu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara agar lebih berdaya tahan, inklusif dan berorientasikan masa depan.
KPT menerusi kenyataan memaklumkan kementerian itu menerima peningkatan peruntukan sebanyak 2.76 peratus iaitu RM18.60 bilion berbanding tahun 2025 iaitu RM18.09 bilion.
“Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), memperkukuh penyelidikan, pembangunan dan inovasi, memperluas akses pendidikan tinggi berkualiti serta kebajikan pelajar.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM14.68 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus, manakala RM3.91 bilion disediakan bagi belanja pembangunan,” menurut kenyataan itu.
KPT memaklumkan antara inisiatif Belanjawan 2026 yang terkait adalah kerajaan memperkukuh kebajikan mahasiswa melalui pelaksanaan Ikhtiar Dapur MADANI, MySiswa Job On Campus dan penyelenggaraan prasarana institusi pendidikan tinggi (IPT) dengan peruntukan keseluruhan melebihi RM446 juta.
Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan insentif Pendidikan Percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 pelajar daripada keluarga miskin dengan peruntukan RM120 juta setahun serta pengecualian bayaran balik kepada 6,000 graduan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama daripada keluarga B40 dan M40.
Inisiatif itu antara lain memberi keutamaan pendidikan Bumiputera dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6 bilion kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Yayasan Peneraju dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
KPT akan terus bekerjasama erat dengan semua iniversiti awam, politeknik, kolej komuniti serta institusi swasta untuk memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara berhemah dan memberi impak langsung kepada pembangunan modal insan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial