BELANJAWAN 2025 > BERITA

Belanjawan 2026 Perkukuh Tulang Belakang Digital Malaysia Untuk Masa Depan Dikuasai AI - MyIX

13/10/2025 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Malaysia Internet Exchange (MyIX) menyambut baik Belanjawan MADANI 2026 sebagai langkah tegas untuk mengukuhkan tulang belakang digital Malaysia menerusi penekanan kerajaan terhadap infrastruktur kabel dasar laut, ketersambungan seluruh negara, pengembangan 5G, kecerdasan buatan (AI) dan rangkuman digital sebagai pemboleh kritikal masa depan negara.

Pengerusi MyIX Chiew Kok Hin berkata komitmen kerajaan lebih RM4 bilion dalam pelaburan infrastruktur digital yang penting membolehkan Malaysia bersaing sebagai hab digital serantau, pelaburan global harus dipadankan dengan kesalinghubungan domestik berdaya tahan.

“Infrastruktur digital kini sedang dibina, iaitu kabel dasar laut, pengkomputeran awan AI dan rangkaian 5G. Faedah sebenar akan dinikmati rakyat apabila ia bergerak di peringkat tempatan dan terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

“Di MyIX, peranan kami adalah untuk mengukuhkan kapasiti ini supaya setiap rakyat Malaysia menikmati kos lebih rendah, penstriman lancar, akses awan lebih pantas dan kedaulatan data yang terjamin,” katanya.

Belanjawan 2026 telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion untuk kabel dasar laut Sambungan Kabel Dasar Laut Madani (SALAM), menghubungkan Johor, Sarawak dan Sabah, RM2 bilion untuk awan AI berdaulat, pelaksanan 5G secara berterusan, penggunaan ID MyDigital dan pelaburan global daripada Microsoft, Google dan Amazon Web Services.

Amazon, Google dan Microsoft adalah antara rakan kongsi global MyIX, menyokong misi MyIX untuk meningkatkan kelajuan, daya tahan dan kemampuan internet Malaysia.

Langkah-langkah digariskan dalam Belanjawan 2026 juga mencerminkan wawasan jitu meletakkan Malaysia sebagai hab AI dan digital serantau, kata Chiew.

“Komitmen kerajaan terhadap kabel dasar laut, infrastruktur AI dan pelancaran 5G akan menghasilkan kapasiti yang belum pernah berlaku sebelum ini.

"Peranan kami di MyIX adalah untuk memastikan pelaburan ini diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk rakyat Malaysia menerusi laluan trafik digital tempatan yang cekap. Inilah cara kami mengukuhkan kedaulatan digital sambil membolehkan pertumbuhan inklusif," katanya.

Chiew berkata tumpuan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak, bersama-sama dengan inisiatif seperti pendigitalan GovTech, pengembangan ID MyDigital dan insentif cukai untuk penggunaan AI dan keselamatan siber akan meluaskan lagi akses kepada ekonomi digital di seluruh negara.

'Dengan menetapkan trafik internet secara tempatan, MyIX mengurangkan kebergantungan kepada penghalaan (routing) dari luar, memastikan peningkatan ketersambungan dirasai di seluruh negara, dari desa ke pusat bandar di Lembah Klang.

“Dalam usaha Malaysia membina Negara AI 2030, kesalinghubungan latensi rendah akan menjadi lapisan tersembunyi yang menggerakkan AI, 5G, dan penggunaan pengkomputeran awan untuk kerajaan, sektor perniagaan dan juga rakyat.'"

MyIX beroperasi merentasi Kuala Lumpur, Cyberjaya, Johor Bahru dan Kuching, berfungsi sebagai titik perhubungan utama untuk pertukaran trafik yang lancar.

Dalam pada itu, MyIX ini terus memberikan pengurangan kos yang ketara, penjimatan pertukaran mata wang asing dan kelajuan internet tempatan yang lebih pantas, pada masa sama meningkatkan daya tahan dan kecekapan negara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan penting dalam penubuhan MyIX pada 2006, ia terus mengadakan sesi libat urus dengan MyIX secara aktif.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan