PUTRAJAYA, 11 Okt (Bernama) -- Peruntukan RM6.87 bilion kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan kecukupan dan keterjaminan bekalan makanan negara serta meningkatkan produktiviti sektor agromakanan demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kenaikan sebanyak tujuh peratus berbanding RM6.42 bilion pada 2025, akan terus memperkukuh keterjaminan makanan selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).
“KPKM akan terus memacu sektor agromakanan selaras dengan DAN 2.0 yang memfokuskan kepada pemodenan dan perkembangan sektor agromakanan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara.
“Ini turut melibatkan kelestarian aktiviti pertanian dan pengukuhan infrastruktur pertanian serta menjaga kebajikan golongan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad berkata KPKM komited untuk melaksanakan inisiatif Belanjawan 2026 secara cekap dan berlandaskan tatakelola yang baik, demi memastikan semua golongan sasar di bawah kementerian dapat meraih manfaat daripada pengumuman tersebut.
Antara inisiatif utama keterjaminan makanan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 termasuk peruntukan RM300 juta bagi menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri untuk memanfaatkan penggunaan tanah, serta RM55 juta bagi menyokong pengusaha buah-buahan tempatan melalui insentif tanaman dan prasarana ladang.
Bagi golongan pesawah, Mohamad berkata secara keseluruhan setiap pesawah dianggarkan menerima insentif RM4,300 sehektar semusim pada 2026 berbanding RM3,790 sehektar semusim sebelum ini.
Beliau berkata RM2.62 bilion disediakan untuk pelbagai subsidi dan insentif kepada pesawah seperti subsidi harga padi, subsidi tanaman padi, subsidi baja, subsidi benih dan insentif pengeluaran padi.
Mohamad berkata kerajaan juga menyediakan insentif hasil tangkapan sebanyak RM160 juta, elaun sara hidup nelayan hingga RM300 sebulan, diesel bersubsidi dikekalkan pada RM1.65 seliter khusus untuk nelayan dan 380 rumah nelayan akan dibaik pulih atau dibina baharu dengan peruntukan RM10 juta.
Selain itu, beliau berkata RM20 juta disediakan untuk menaik taraf vesel bagi mengurangkan kebergantungan tekong dan kru asing serta menggantikan pukat tunda Zon B dan pukat kenka dua bot bagi mengurangkan vesel tidak lestari.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial