HAMILTON (Kanada), 10 Okt (Bernama-Anadolu) -- Ketua bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Tom Fletcher pada Khamis berkata agensinya telah bersedia dengan pelan kemanusiaan terperinci untuk menghantar bantuan ke seluruh Semenanjung Gaza selepas perjanjian gencatan senjata dicapai, sambil memberi amaran bahawa pembiayaan dan akses kekal sebagai faktor penting, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Fletcher berkata pelan gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump “perlu menjadi asas kepada usaha menyelamatkan nyawa di seluruh rantau itu dan menyelamatkan puluhan ribu nyawa.” Dalam satu taklimat secara maya, beliau menegaskan bahawa “kita mesti merebut peluang ini dengan tekad kolektif, kesungguhan dan kemurahan hati.”
“Tidak boleh ada sebarang pemungkiran terhadap perjanjian yang telah dicapai,” katanya.
Fletcher berkata pasukan PBB telah menempatkan terlebih dahulu 170,000 tan metrik makanan, ubat-ubatan dan bekalan lain untuk memulakan penghantaran segera.
“Inilah apa yang kami rancang untuk disalurkan dalam tempoh 60 hari pertama gencatan senjata,” katanya sambil memperincikan usaha untuk meningkatkan aliran bantuan kepada ratusan trak sehari dan mencapai 2.1 juta orang yang memerlukan bantuan makanan, termasuk 500,000 yang memerlukan sokongan pemakanan.
Beliau berkata PBB akan “menyokong kedai roti dan dapur komuniti,” menyediakan “bantuan tunai kepada 200,000 keluarga” serta berusaha memulihkan mata pencarian “penternak dan nelayan.”
Dalam aspek kesihatan, Fletcher berkata usaha akan ditumpukan untuk memulihkan “sistem kesihatan yang musnah” serta penempatan pasukan kecemasan.
Beliau turut menyatakan rancangan untuk membekalkan air bersih dan sanitasi kepada 1.4 juta orang, mengagihkan “ribuan khemah setiap minggu,” dan membuka semula ruang pembelajaran untuk 700,000 kanak-kanak bersekolah.
Fletcher menegaskan bahawa melindungi orang awam dan memastikan “akses kemanusiaan tanpa halangan” adalah amat penting.
“Sekatan mesti ditamatkan,” katanya sambil menambah bahawa PBB akan “terus menuntut perkara itu.”
Ketua bantuan PBB itu memberi amaran bahawa hanya 28 peratus daripada US$4 bilion yang diperlukan untuk rayuan kecemasan 2025 bagi wilayah Palestin yang diduduki telah dibiayai.
“Setiap kerajaan, setiap negara, setiap individu… sekarang adalah masanya untuk menzahirkan kemurahan hati itu, membantu kami menyalurkan bantuan dan menyelamatkan begitu banyak nyawa di Semenanjung Gaza,” katanya.
Fletcher menambah bahawa walaupun sejumlah besar bantuan telah ditempatkan lebih awal, “kami perlu membawa lebih banyak bantuan dalam tempoh dua bulan akan datang,” sambil menegaskan bahawa cabaran kemanusiaan itu “tidak akan berakhir dalam masa dua bulan.”
“Kebuluran mesti dipulihkan di kawasan yang telah terjejas dan dicegah daripada merebak ke kawasan lain,” tambahnya.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial