GAZA, 10 Okt (Bernama-WAM) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah menghantar 21 lori tangki air kepada Coastal Municipalities Water Utility di Gaza sebagai sebahagian daripada "Operasi Chivalrous Knight 3", yang bertujuan menyokong rakyat Palestin dan mengurangkan masalah kekurangan bekalan air yang serius di wilayah itu.
Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), lori tangki itu akan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 200,000 orang, mengangkut kira-kira 150,000 liter air bagi setiap perjalanan.
Setiap lori tangki mempunyai kapasiti 10 meter padu air, membantu memastikan pengagihan air yang dinyahgaramkan ke seluruh kawasan yang terjejas dan mencerminkan komitmen UAE untuk mengurangkan kesan krisis kemanusiaan terhadap orang awam.
Pengarah Media "Operasi Chivalrous Knight 3" di Gaza, Sharif Al-Nayrab berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada pendekatan kemanusiaan UAE yang teguh untuk menyokong rakyat Palestin, sambil menyatakan bahawa operasi itu terus bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk mengekalkan bekalan air dinyahgaramkan yang stabil di seluruh Semenanjung itu.
Timbalan Pengarah Eksekutif Coastal Municipalities Water Utility, Omar Shatat memuji ketibaan lori-lori tangki itu yang tepat pada masanya di tengah-tengah permintaan yang semakin meningkat. Beliau memuji peranan "Operasi Chivalrous Knight 3" dalam memperkukuh usaha kemanusiaan di Gaza dan berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat UAE atas sokongan padu serta pendirian kemanusiaan mereka semasa krisis yang sedang berlaku.
Bulan lalu, satu saluran paip baharu telah dilancarkan untuk menyalurkan air dinyahgaramkan dari stesen Emiriah di Al Arish ke kawasan Mawasi di Khan Younis di selatan Gaza, dengan kapasiti harian dua juta gelen, memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk di seluruh Semenanjung itu.
Usaha-usaha ini sekali gus mengesahkan semula peranan kemanusiaan utama UAE dan komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk membantu negara-negara sahabat semasa menghadapi kesusahan, selaras dengan nilai-nilai belas kasihan, perpaduan dan kemurahan hati yang menjadi asas dasar kemanusiaan globalnya.
-- BERNAMA-WAM
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial