BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Ketuai Misi Diplomatik Selepas Thailand, Kemboja Setuju Laksana Gencatan Senjata Serta-Merta

29/07/2025 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengetuai delegasi diplomatik ke Thailand dan Kemboja bagi memudah cara perbincangan susulan persetujuan kedua-dua negara untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat.

Gencatan senjata itu, berkuat kuasa pada tengah malam tadi, telah dipersetujui semasa mesyuarat khas anjuran Malaysia yang membawa kedua-dua negara berjiran di Asia Tenggara itu ke meja rundingan susulan ketegangan yang semakin memuncak antara Thailand dan Kemboja.

Mesyuarat tersebut, yang dimediasi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya, menyaksikan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai mencapai kata sepakat berhubung pelaksanaan gencatan senjata itu.

Kedua-dua negara sudah lama bertelingkah berhubung isu kawasan sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamad dan ketegangan memuncak pada 28 Mei lepas apabila pertempuran berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikai menyebabkan kematian seorang askar Kemboja.

Bahagian Perisikan Pertahanan dan Komunikasi Strategik Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan beberapa pertempuran kecil telah dilaporkan selepas gencatan senjata berkuat kuasa namun ia telah ditangani dalam mesyuarat susulan antara komander wilayah kedua-dua negara pada 10 pagi tadi.

“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen mereka untuk mengekalkan gencatan senjata, melarang serangan ke atas orang awam, menghentikan bantuan dan pergerakan ketenteraan serta memudahkan penghantaran pulang mereka yang tercedera dan terkorban,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, satu pasukan penyelarasan bersama terdiri daripada empat wakil bagi setiap pihak akan dibentuk bagi memantau perkembangan menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang dijadual pada 4 Ogos ini.

Delegasi Malaysia dijangka meneruskan perjalanan ke Phnom Penh untuk perbincangan lanjut dengan rakan sejawat dari Kemboja.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan