JITRA, 25 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kedah diharap dapat bersama-sama mencari jalan supaya negeri itu dapat keluar daripada senarai empat teratas bagi kadar penagihan dadah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata berdasarkan kadar penagihan bagi setiap 100,000 penduduk daerah paling terkesan ialah Pendang (Kedah), Kuala Krai (Kelantan) dan Bachok (Kelantan) manakala dari segi negeri, Terengganu mencatat kadar tertinggi diikuti Perlis, Kelantan dan Kedah.
"Daripada data yang dikumpul Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis narkotik, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pusat pemulihan, kita telah mengaplikasikan kaedah analisis seperti yang diguna pakai oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
"Daripada data itu Kedah tersenarai. Kita tidak lagi berada pada era menuding jari atau mengeluh, setiap pemimpin di semua peringkat sama ada di peringkat kerajaan, masjid, komuniti, atau sekolah perlu terlibat secara aktif untuk mengatasi masalah dadah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Dataran Darulaman di sini hari ini.
Turut hadir pada program yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Saifuddin Nasution berkata masalah dadah ini bukan lagi soal politik tetapi soal tanggungjawab bersama dan untuk menangani isu ini dengan berjaya, tiga perkara diperlukan iaitu pertama mengelakkan sindrom penafian.
"Keinsafan bahawa kita memang sedang menghadapi masalah yang serius, kedua kesedaran bahawa tiada satu pihak mampu menangani isu ini secara bersendirian dan ketiga komitmen untuk berubah dan menyesuaikan pendekatan sedia ada agar lebih menyeluruh dan bersepadu.
"Kita akui cabaran logistik masih wujud. Sebanyak 80 peratus bekalan dadah masuk ke Malaysia melalui jalan laut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia kini bertanggungjawab mengawal kawasan seluas 680,000 kilometer persegi," katanya.
Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga telah memohon penambahan peralatan daripada Perdana Menteri untuk menangani masalah dadah ini dan permohonan yang dibuat telah mendapat perhatian.
"Kerajaan juga memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui perkongsian risikan dan operasi serantau bersama ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bagi tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukkan RM480 juta untuk operasi AADK dan pengurusan pusat pemulihan penagih, kita akan mohon tambahan peruntukan lebih RM500 juta selepas ini agar usaha ini dapat diperkukuh.
"Dari aspek penguatkuasaan, kita memiliki beberapa akta yang kukuh termasuk Akta Dadah Berbahaya dan Akta Penagih Dadah. Kedua-dua akta ini telah dipinda tahun lalu bagi mengenakan hukuman lebih berat kepada pengedar dan sindiket," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial