BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dadah, Belia Melayu: Di Mana Silap Kita? 

24/07/2025 01:49 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 24 Julai (Bernama) -- Ketika data menunjukkan lebih 75 peratus daripada penagih dadah di negara ini terdiri belia Melayu, timbul persoalan sejauh mana keberkesanan sistem sokongan sosial dalam melindungi generasi muda daripada gejala ketagihan yang kian membarah. 

Data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan belia lelaki Melayu berumur antara 15 hingga 39 tahun mewakili 60 hingga 70 peratus daripada keseluruhan jumlah penagih di negara ini.

Realiti ini mencetuskan kebimbangan kerana kumpulan ini sepatutnya menjadi aset pembangunan negara, bukannya terjerumus dalam kancah ketagihan yang merosakkan diri dan institusi keluarga.

Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Pencegahan AADK Mahadzir Elias menyifatkan fenomena itu sebagai isu sistemik yang perlu ditangani secara kolektif, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan. 

“Kalau kampung kita penuh dadah, takkan nak salahkan polis sahaja … kita ahli kampung itu. Kalau anak kita yang terjebak, takkan nak salahkan jiran pula,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata masyarakat perlu berfungsi sebagai ekosistem penjagaan dengan memainkan peranan secara aktif, termasuk dalam mendidik dan memantau perkembangan anak muda sejak awal. 

“Tanpa tindakan kolektif, kelompok ini boleh menjadi bom jangka sosial yang merosakkan institusi keluarga dan meruntuhkan kekuatan bangsa serta menjejaskan masa depan negara,” katanya. 

Di sebalik statistik yang membimbangkan, timbul persoalan sama ada krisis penagihan dadah dalam kalangan belia turut berpunca daripada jurang komunikasi dalam keluarga, memandangkan ramai remaja dipercayai terjerumus bukan semata-mata kerana pengaruh luar, tetapi kerana tiada ruang selamat untuk meluah, berkongsi dan dibimbing dari awal. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut berpandangan bahawa selain tekanan hidup dan pengaruh persekitaran, kegagalan membina komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak-anak menjadi antara faktor utama menyumbang kepada gejala ini.

“Anak-anak adalah amanah. Jangan biarkan tekanan hidup atau jurang komunikasi merampas masa depan mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya mewujudkan ruang selamat dalam keluarga dan masyarakat supaya anak-anak tidak tersasar dalam kehidupan.  

Justeru, beliau berkata dalam usaha pemulihan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menggunakan pendekatan baharu dengan mendekati kelompok sasar menggunakan platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan podcast (audio siar) selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu pendekatan dakwah dan kaunseling diperkasakan dalam menangani isu penagihan dadah.

Di lapangan, masjid-masjid seperti Masjid Putra di Putrajaya berfungsi sebagai pusat pemulihan rohani dan sokongan komuniti, lengkap dengan modul solat, zikir, halaqah dan penglibatan keluarga. 

“Ini bukan sahaja usaha pemulihan rohani, tetapi juga memulihkan hubungan kekeluargaan yang terkesan akibat najis dadah. Pendekatan dakwah kepada belia hari ini harus selari dengan perubahan zaman,” kata Mohd Na’im. 

Selain itu, Program MyInsaniah turut diperkenal untuk memperkukuh jati diri dan kepimpinan Islam dalam kalangan remaja 13 hingga 23 tahun, satu bentuk intervensi awal bagi membentuk belia berintegriti, kompeten dan memiliki daya tahan rohani.

AADK pula mengguna pendekatan menyeluruh dalam pencegahan dan rawatan dadah, merangkumi strategi pendidikan awam, intervensi terhadap kumpulan berisiko dan pemulihan berfokus. 

Belia dilibatkan sebagai ejen perubahan dalam komuniti, manakala rawatan pemulihan menekankan aspek spiritual, disiplin diri dan sokongan sosial bagi membina semula kehidupan bekas penagih.

“Zikir dan solat lima waktu adalah wajib … semua ini membentuk disiplin dan nilai diri dan ini juga bentuk dakwah yang diterapkan dalam pemulihan,” menurut Mahadzir. 

Berkongsi kisahnya dengan Bernama, bekas penagih Muhammad Amin (bukan nama sebenar), 30, mengakui mengakui pendekatan spiritual dan komuniti telah menyelamatkan dirinya selepas ketagih syabu selama tujuh tahun akibat tekanan emosi.

“Masalah sebesar mana pun, jangan pilih dadah. Ia bukan penyelesaian. Dadah hanya musnahkan semuanya. Saya dah lalui, saya tahu,” katanya yang kini bebas selepas 16 bulan menjalani rawatan secara sukarela. 

Isu ketagihan dadah, khususnya dalam kalangan belia Melayu bukan isu baharu. Pelbagai kempen kesedaran, langkah penguatkuasaan dan usaha pencegahan telah digerakkan pelbagai pihak sejak bertahun-tahun, namun masalah ini masih belum menampakkan jalan penyelesaian tuntas.

Soalnya kini, bukan siapa yang patut dipersalahkan, tetapi bagaimana semua pihak -  institusi agama, pendidikan, keluarga dan media boleh bertindak bersama sebelum lebih ramai ‘Amin’ muncul, kerana mungkin tidak semuanya akan kembali. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan