LONDON, 23 Julai (Bernama-Anadolu) -- Ozzy Osbourne, vokalis ikonik kumpulan Black Sabbath dan antara figura paling berpengaruh dalam muzik heavy metal Britain meninggal dunia pada usia 76 tahun, umum keluarganya pada Selasa.
“Dengan dukacita yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, kami memaklumkan bahawa Ozzy Osbourne yang dikasihi telah menghembuskan nafas terakhir pagi ini.
“Beliau pergi dalam dakapan keluarga yang penuh kasih sayang. Kami memohon semua pihak agar menghormati privasi keluarga kami pada waktu yang sukar ini,” menurut kenyataan yang dipetik Anadolu Ajansi.
John Michael Osbourne dilahirkan pada 3 Dis 1948 di Aston, Birmingham dan dibesarkan dalam suasana serba kekurangan sebelum mencipta kemasyhuran bertaraf global.
Beliau meninggalkan alam persekolahan pada usia 15 tahun dan bekerja dalam pelbagai bidang termasuk di kilang, sebelum menubuhkan kumpulan muzik bersama rakan sekolahnya yang juga bakal pemain bass Black Sabbath, Geezer Butler.
Namanya mula menyerlah pada awal 1970-an sebagai vokalis utama Black Sabbath, kumpulan yang kemudiannya menjadi perintis genre heavy metal.
Osbourne dikenali dengan gelaran “Prince of Darkness”, satu persona yang terus melekat sepanjang kerjaya seni beliau selama lima dekad.
Awal bulan ini, beliau kembali ke pentas bersama Black Sabbath dalam konsert terakhir kumpulan itu pada 5 Julai di Villa Park, Aston iaitu bandar kelahirannya.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial