BELANJAWAN 2025 > BERITA

YaPEIM Sasar Bina 50 Rumah, Peruntuk RM4 Juta Tahun Ini

23/07/2025 01:13 PM

KEPALA BATAS, 23 Julai (Bernama) -- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyasarkan untuk membina 50 rumah dengan peruntukan RM4 juta menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM kepada golongan yang memerlukan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pembinaan rumah dengan kos RM80,000 setiap satu itu akan dilaksanakan bersama rakan strategik kepada golongan B40 dan senarai penerima e-Kasih bagi memberikan kediaman lebih selesa.

"Program Sinar Lestari YAPEIM telah dilancarkan pada 2020 dan setakat Jun lepas, YAPEIM memperuntukkan RM13.5 juta membabitkan 293 projek bina baharu dan baik pulih kediaman di seluruh negara.

"Sebanyak 167 projek baik pulih dan 126 projek bina baharu telah dilaksanakan dengan 225 projek telah siap manakala baki 68 projek dalam proses pembinaan. Di Pulau Pinang, YAPEIM telah melaksanakan sembilan projek membabitkan lima bina baharu serta empat projek baik pulih keseluruhannya berjumlah RM460,000," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Sinar Lestari YAPEIM di Penaga di sini hari ini, dengan tiga ketua keluarga menerima bantuan bina baharu rumah masing-masing pada majlis itu.

Mohd Na'im berkata bantuan berkenaan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal yang selesa, tetapi juga simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam membina masyarakat penyayang serta memastikan tiada golongan memerlukan tercicir.

Sementara itu, penerima rumah bina baharu Tahir Suhid, 55, berkata dia sekeluarga bersyukur dan gembira kerana selama ini menyewa lebih 15 tahun di Jalan Pasir Gebu, di sini.

Tahir yang juga nelayan berkata lebih dua tahun dia tidak turun ke laut dan pada masa ini membantu isterinya Norlia Aziz,45, berniaga.

“Saya beli tanah lot dengan membayar secara ansuran sebelum memohon bantuan membina rumah daripada YAPEIM.

"Kami sekeluarga bersyukur dan berterima kasih YAPEIM kerana membantu kami, besar ertinya rumah ini kepada saya, isteri dan lima anak berusia enam hingga 25 tahun,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan